UMNO Bahagian Parit Bergolak?



Sudah memasuki hari kelima kempen Pilihan Raya Umum ke 14 berlangsung namun kehangatan kempen berkenaan tidak begitu di rasai di Parlimen Parit. Tidak tahu apakah sebab kehangatan berkenaanbetukar menjadi hambar. Mungkin ianya disebabkan oleh pertelagahan yang tidak pernah berhenti di dalam UMNO Bahagian Parit itu sendiri.

Seluruh warga Parlimen Parit sedia maklum bahawa calon yang diketengahkan oleh BN Negeri Perak kali ini bukanlah calon pilihan warga Parlimen Parit. Bagi Parlimen, Datuk Nizar Zakaria dipilih sebagai calon untuk Parlimen, Khairuddin Abu Hanipah untuk DUN Belanja dan Khairul Shahril Mohamed untuk DUN Bota.

Apa yang mencuri tumpuan hari ini adalah, majoriti ahli UMNO tidak menerima pencalonan ketiga-tiga individu ini yang disifatkan sebagai calon yang bukan mewakili kehendak rakyat. Datuk Nizar sebagai contohnya, telah terbukti gagal membawa sebarang kemajuan buat DUN Belanja sepanjang dia menjadi ADUN untuk kerusi berkenaan.

Seluruh negeri Perak tahu bahawa Pekan Parit tidak segah namanya sebagai Pekan Warisan Negeri Perak disebabkan kegagalan ADUNnya sendiri membawa kemajuan yang cukup diidamkan oleh warga Belanja. Justeru, agak menghairankan, bagaimana orang yang telah gagal sebegini dipilih oleh BN Perak menjadi calon Ahli Parlimen untuk Parit?

Bagi Khairuddin pula, pemilihannya untuk menggantikan Datuk Nizar sememangnya amat mengejutkan. Dikatakan, dia bukanlah calon popular yang boleh diterima oleh majoriti penduduk di DUN Belanja ini. Justeru, amat sukar untuk menilai, sejauh mana dia mampu untuk menterjemahkan kemahuan warga DUN Belanja andai dipilih kelak.

Pemilihan Khairul Shahril pula satu lagi pemilihan yang amat mengejutkan. Benar, BN memerlukan tenaga muda untuk melestarikan perjuangan BN namun, menurut beberapa perkhabaran yang tidak dapat disahkan kebenarannya, latar belakangnya diragui kerana didakwa mempunyai beberapa skandal yang sehingga kini masih gagal dijawab oleh pihaknya. Sejauh mana benarnya dakwaan berkenaan, masih belum dapat dipastikan.

Dengan pemilihan yang dianggap sebagai mengarut ini, mungkin ianya benar menunjukkan bahawa UMNO Bahagian Parit sendiri sememangnya sedang bergolak. Juga dikhabarkan, beberapa bilik gerakan masih lagi ditutup sejak hari penamaan calon berkenaan dibuat. Malah, sudah ada jentera yang enggan lagi bekerjasama sepanjang tempoh berkempen kali ini.

Apa yang paling dibimbangi adalah, kecenderungan warga Parit sendiri yang dilihat akan beralih arah dari menyokong BN kepada pihak lawan terutamanya PAS yang meletakkan calon yang lebih dikenali oleh warga Parit. Ini bukan perkara yang boleh dibuat main kerana kerusi ini adalah satu-satunya kerusi di Perak Tengah milik orang Melayu yang masih gagal ditawan oleh pembangkang.

Seandainya pergolakan dalaman ini gagal diatasi dalam tempoh singkat, dibimbangi, peristiwa tahun 1999 akan berulang semula di mana kerusi Parlimen ini dikuasai oleh PKR dan juga PAS. Yang mengalami kerugian adalah warga Parit itu sendiri hanya disebabkan kemaruk kuasa dan perebutan jawatan secara kotor yang berlaku di dalam UMNO Bahagian Parit.

Ulasan