Tak Kan Tong Sampah Besar Pun Tidak Boleh Disediakan?


Bandar Seri Iskandar diakui antara bandar ilmu yang sedang pesat membangun di negeri Perak. Disini terletaknya Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan juga UiTM, salah sebuah pusat pengajian awam tekemuka di Malaysia. Justeru, tidak hairanlah di Bandar Seri Iskandar ini cukup pesat membangun dengan deretan kedai dan pusat membeli belah dibangunkan secara menyeluruh.

Namun begitu, ada sesuatu yang tidak kena dengan pembangunan bandar ini. Ketika berpeluang bertanya dengan seorang pengusaha kedai makanan di bandar ini, dia memberitahu, segala pembangunan pesat di bandar ini dilihat tidak seiring dengan penyediaan kemudahan tempat pembuangan sampah yang sepatutnya disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di sini.

Beliau yang enggan namanya disiarkan memberitahu, jika ada sesiapa yang perasan, boleh dikatakan tidak ada satu pun tong sampah besar disediakan di setiap blok kawasan bandar Seri Iskandar. Jika ada sekalipun, ianya terletak jauh dari premis perniagaan mereka dan ianya satu-satunya tempat pembuangan sampah dilakukan oleh kesemua peniaga di kawasan berkenaan.

Ketika ditanya samada pihak peniaga di kawasan berkenaan ada mengajukan persoalan mengenai penyediaan tong sampah besar berkenaan, beliau mengakui, beberapa pihak sudah mengadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa tempatan berkenaan namun hasilnya amat mendukacitakan.

Beliau memberitahu, antara alasan utama yang dikemukakan oleh PBT berkenaan adalah, pihak PBT enggan melihat tong sampah besar berkenaan dijadikan sebagai tempat pelupusan barang lama seperti tilam, almari, sofa atau apa jua barang pekakas rumah.

Beliau mempersoalkan, adakah logik alasan sebegini di berikan kerana menurut beliau, di bandar-bandar besar seperti di Ipoh sebagai contohnya, PBT di kawasan berkenaan akan menyediakan sekurang-kurangnya 5 tong sampah besar di setiap blok kawasan perniagaan, bukannya menyediakan hanya 1 tong sampah besar untuk setiap blok perniagaan.

Bagi membuktikan dakwaan beliau, penulis meninjau kawasan persekitaran beberapa blok perniagaan di Seri Iskandar. Nyata dakwaannya tepat kerana seorang peniaga barangan runcit di sini juga mengeluh tentang perkara yang sama. Beliau mendakwa, terpaksa mengangkut semua sampahnya dari kedai ke pusat pembuangan sampah yang letaknya hampir 1 kilometer dari kedainya.

Malah, beliau sendiri memberitahu, seandainya sampah berkenaan di letakkan dihadapan kedai, kadang kala hampir seminggu lori sampah tidak memungut sampah berkenaan dan sekaligus menimbulkan bau yang kurang enak kepada para pelanggannya.

Mungkin PBT berkenaan boleh memandang serius akan perkara ini kerana ianya adalah salah satu jaminan kebersihan bagi setiap premis perniagaan yang ada di Seri Iskandar. Letaklah sekurang-kurangnya 3 tong sampah besar bagi setiap blok perniagaan atau paling tidak, gerakkan lori-lori sampah yang ada di bawah seliaan PBT berkenaan untuk mengutip sampah para peniaga setiap hari.

Bukankah kebersihan bandar Seri Iskandar terletak di tangan peniaga dengan kerjasama PBT itu sendiri? Jika masih mengemukakan alasan yang dianggap karut seperti ini, apa yang dikhuatiri adalah, besar kemungkinan ada para peniaga yang akan melonggokkan sampah mereka sesuka hati dan sekaligus mengotorkan pemandangan indah yang ada di Seri Iskandar.

Ulasan

  1. Betul sgt,.. Harap pihak yg berwajib dpt menjlnkan tugas yg diamanahkan
    kita amanah, bersih,.. Allah syg

    BalasPadam

Catat Ulasan