Cabaran Seri Iskandar Untuk Menjadi Bandar Ilmu


Dalam konteks pembangunan hari ini, antara kreteria utama yang menjadi ukuran adalah keselamatan dan keselesaan penduduk di kawasan berkenaan. Malah, kemudahan asas dan pengangkutan awam juga diambil kira untuk menjadikan sesebuah kawasan berkenaan diiktiraf sebagai maju dan mampu memberikan persekitaran yang terbaik buat penduduknya.

Inilah antara cabaran yang harus ditempuh oleh salah sebuah bandar yang hari ini diiktiraf sebagai bandar ilmu di Perak. Seri Iskandar hari ini cukup dikenali sebagai salah sebuah bandar yang mampu melahirkan para intelektual hasil daripada lepasan dua buah universiti terulung di Malaysia, UiTM dan Universiti Petronas.

Bukan mudah untuk mendapat gelaran seumpama ini dan paling utama, bukan mudah untuk mengekalkan status yang dianggap sebagai satu penghormatan buat warga Seri Iskandar dan Parlimen Parit khasnya.

Bagi kebanyakan bandar yang sedang mengecapi pembangunan berterusan, antara cabaran utamanya adalah dari segi keselamatan. Sudah semestinya, semua pihak harus berganding bahu bagi memastikan kedamaian yang dinikmati di Seri Iskandar ini mampu diteruskan. Kerjasama antara masyarakat setempat, pemimpin dan pihak berkuasa harus berterusan tanpa sebarang kompromi.

Paling utama, aspek kebersihan di Seri Iskandar wajar diambil perhatian yang serius oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Rungutan mengenai ketiadaan tong sampah besar di hampir kesemua blok premis perniagaan disamping kelembapan kontraktor pengutip sampah, kerap kali didengari dan difahamkan, sehingga kini, belum ada tindakan yang benar-benar proaktif dilakukan oleh pihak berkenaan.

Bayangkan, dengan kewujudan dua buah universiti terulung di Malaysia di Seri Iskandar, namun bandar indah ini dicemari dengan sistem pembuangan sampah yang tidak teratur, bukankah ianya memberi imej buruk kepada bandar ilmu ini kepada pihak luar terutamanya ibu bapa yang datang untuk melihat tempat tinggal dan pembelajaran anak-anak mereka?

Benar, hari ini Seri Iskandar memang cukup pesat membangun dengan D Hotel menjadi salah sebuah mercu tanda di Seri Iskandar. Namun begitu, usah mengambil mudah apa yang dikecapi hari ini kerana pelbagai anasir luar boleh sahaja merosakkan keindahan yang sudah wujud ini.

Cabaran sebenar baru sahaja bermula dan terpulanglah kepada penduduk Seri Iskandar memastikan bandar ilmu ini kekal indah dan terpelihara. Dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak PDRM dengan kerap membuat sekatan jalan raya bagi memastikan keselamatan bandar ini terpelihara, adalah amat diyakini bahawa, keadaan semasa Seri Iskandar akan kekal terjaga.

Ulasan