Perindahkan Semula Pekan Parit Dari Terus Terbiar




Sudah terlalu banyak kedengaran rungutan dari kalangan penduduk di sekitar Pekan Parit yang rata-ratanya melahirkan rasa sedih akan suasana Pekan parit yang tidak pernah berubah sejak berpuluh tahun yang lalu. Jika ada pun perubahan hanyalah dengan mengecat semula bangunan lama tanpa ada pelan strategik jangka panjang untuk meperindahkan Pekan Parit.

Dahulunya, Pekan Parit ini adalah sebuah pekan yang cukup penting yang menghubungkan antara Taiping dan Beruas menuju ke Ipoh ataupun paling dekat, Batu Gajah. Peredaran zaman telah sedikit demi sedikit meninggalkan Pekan Parit dan terus terbiar sehinggalah hari ini.

Sekali imbas, gelaran Pekan Bersejarah yang diberikan oleh kerajaan Perak terhadap pekan kecil ini seolah-olah langsung tidak memberi sebarang erti. Manakan tidak, hampir kesemua infrastruktur asas di pekan ini boleh dianggap sebagai usang dan hanya menerima sentuhan pembaikan yang agak minima.

Lihat sahaja hentian bas di Pekan Parit, deretan kedai lama yang ada diantaranya begitu usang, bangunan-bangunan kerajaan dan juga jaringan jalan raya. Kesemuanya menuntut satu pembaharuan yang lebih baik agar setanding dengan gelaran yang danugerahkan kepada pekan kecil ini.

Difahamkan, kerajaan baru sahaja meluluskan RM 75 juta untuk pembaikan jalan antara Parit - Siputeh yang sepatutnya sudah lama diminta dananya oleh mereka yang mentadbir kawasan ini. Walau apa pun, setidak-tidaknya, dana ini diharapkan mampu melebarkan dan memperbaiki jalan di sepanjang laluan utama untuk keluar dan masuk ke Pekan Parit.

Di samping itu juga, pihak-pihak yang terlibat, wajar memantau semula beberapa projek yang dilihat terbiar tanpa sebarang usaha untuk di manfaatkan. Sebagai contoh, Jeti Nordin yang satu ketika dahulu antara tarikan buat orang luar berkelah, dibiarkan usang dan hari ini dikhabarkan, ianya menjadi port untuk kaki-kaki dadah dan maksiat.

Kenapa llokasi secantik ini dibiarkan usang tanpa penyelenggaraan yang sepatutnya? Bagaimana pula dengan sebuah premis yang di beri nama pusat belia yang telah berkunci sejak lebih setahun yang lalu? Bukankah lebih elok sekiranya premis berkenaan di buka dan dijadikan sebagai pusat pengajaran komputer buat anak muda lepasan PT3 atau SPM? Itu lebih baikkan dari dibiarkan berkunci?

Satu lagi projek mega yang boleh dirangka oleh mereka yang tahu untuk membangunkan Pekan Parit adalah membangunkan waterfront di sepanjang Sungai perak yang melintasi Pekan Parit. Rasanya, projek rakyat seumpama ini mampu menggalakkan kehadiran pelancong disamping memberi ruang buat peniaga IKS memasarkan produk mereka dari sibuk membicarakan tentang perancangan membina lapangan terbang.

Jika seseorang itu benar-benar menyayangi dan menyintai Parlimen Parit terutamanya Pekan Parit, banyak pembangunan boeh dibawa. Banyak perancangan pelancongan boleh di bangunkan dan penulis percaya, kerajaan negeri Perak dan kerajaan Pusat tidak ada masalah untuk meluluskannya jika perancangan berkenaan benar-benar mencapai sasarannya.

Masalahnya, pembangunan hanya tertumpu di Seri Iskandar dan meninggalkan terus Pekan Parit terbiar seperti pekan mati. Seimbangkan pembangunan antara dua lokasi ini. Jika mereka melihat dengan mata hati, Pekan Parit ini cukup indah sebenarnya jika dihiasi dengan pembangunan yang tersusun.

Ulasan