UMNO Parit Tolak Senarai Nama Calon PRU14?



Seperti yang dijangkakan, senarai nama calon PRU ke 14 untuk Parlimen P069 Parit, menerima penolakan besar dari UMNO Bahagian Parit. Malah diberitakan, MCA dan MIC Bahagian Parit juga mengumumkan menolak senarai nama berkenaan yang disifatkan sebagai tidak mengikut kehendak akar umbi Parlimen ini.

Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir telah mengumumkan Datuk Mohd Nizar Zakaria bakal bertanding di Parlimen Parit dengan Khairudin Abu Hanipa dan Khairul Shahril Mohamed akan bertanding di DUN Belanja dan Bota.

Sebaik senarai nama ini diumumkan, Ketua Bahagian UMNO Parit yang juga penyandang Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan mengumumkan membantah senarai nama calon ini. Beliau menyifatkan senarai ini langsung tidak mencerminkan kehendak pengundi di Parit.

Ujar beliau, pengundi di Parlimen Parit sendiri cukup terkejut dengan pengumuman ini. Manakan tidak, sebelum ini beberapa nama disebut sebagai calon Parlimen Parit dan antara yang hangat diperkatakan adalah, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusuf dan dirinya sendiri.

Malah, bagi DUN Bota, nama Haji Mior Shahrin antara nama yang mendapat sokongan pengundi di DUN berkenaan. Namun, apabila nama-nama ini diumumkan, sudah tentu ianya mendapat tentangan dan bantahan dari Parlimen Parit itu sendiri.

Malah, rata-rata penduduk di Parlimen ini yang ditemui jelas menyuarakan rasa terkejut dan membantah senarai nama calon ini. Menurut salah seorang Ahli UMNO Bahagian Parit yang enggan namanya disiarkan memberitahu, dia dan ramai lagi Ahli UMNO Bahagian Parit menganggap, apa yang diumumkan hari ini seolah-olah mahu menyerahkan Parlimen ini kepada pihak pembangkang.

Dia memberi satu contoh bagaimana seorang yang gagal membangunkan DUN Belanja seperti Datuk Nizar boleh diangkat sebagai Ahli Parlimen. Sudah tentu, tidak ada apa yang dapat dilakukannya seperti mana yang ditunjukkan olehnya sepanjang sepenggal menerajui DUN Belanja.

Bagi penduduk di DUN Bota, mereka mengharapkan seorang yang mampu membawa DUN berkenaan lebih maju sepertimana yang ditunjukkan oleh Datuk Nasaruddin sebelum ini. Jelas salah seorang pengundi di sini, mereka mengharapkan seorang yang mempunyai latar belakang pendidikan yang baik seperti Tuan Haji Mior Shahruddin menjadi ADUN di sini.

Malah, dengan latar belakang kerjaya yang baik, sudah semestinya pengalaman beliau amat ditagih untuk menerajui DUN Bota. Namun, sebaik nama Khairul Shahril di calonkan, rata-rata pengundi di DUN Bota mendakwa, mereka enggan memperakui dan mengiktiraf calon ini.

Sebelum ini, Bagi warga Parlimen Parit, mereka mengharapkan Datuk Akmar Hisham, Datuk Mohd Zaim dan Tuan Haji Mior Shahrin dicalonkan di Parlimen Parit, DUN Belanja dan DUN Bota. Justeru,amat mudah difahami bagaimana kekecewaan dan penolakan UMNO Bahagian Parit itu sendiri dengan apa yang diumumkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO itu sendiri.

Persoalannya, masih sempatkah semua kekhilafan yang samada sengaja atau tidak dilakukan oleh UMNO Perak ini diperbetulkan sebelum hari penamaan calon 28 April ini? Adakah UMNO Perak benar-benar yakin, ketiga-tiga calon ini mampu mempertahankan antara kerusi kaum Melayu yang ada di Perak Tengah ini?

Andai semua ini masih kekal berlaku dan tidak ada sebarang perubahan, usah terkejut sekiranya Parlimen Parit akan jatuh ketangan pembangkang sepenuhnya.

Usah salahkan sesiapa pada waktu itu kerana pilihan yang dilakukan, langsung tidak mengambil kira suara penduduk tempatan. Ianya dilakukan hasil daripada nasihat sesorang yang enggan memperakui kekuatan kesemua calon yang dipilih sendiri oleh warga ANAK PARLIMEN PARIT.

Ulasan