Pengumuman Yang Menggembirakan Tetapi...



Masih terngiang-ngiang lagi pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku Pengerusi BN semasa pembentangan Manifesto BN di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu. Siapa sangka, beliau mengumumkan pembinaan Lapangan Terbang untuk negeri Perak yang akan di bina di Seri Iskandar.

Pastinya, pengumuman ini disambut penuh kesyukuran buat warga Parlimen Parit kerana dengan adanya lapangan terbang baru ini, bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi di Perak Tengah secara amnya.

Namun begitu, adakah kita selaku warga Parlimen Parit sudah bersedia sepenuhnya menerima pembinaan dan projek ini nanti? Adakah ianya cukup memadai buat warga Parlimen Parit atau lebih tepat lagi buat warga DUN Belanja memandangkan keadaan semasa di DUN ini yang boleh dianggap sebagai ketinggalan?

Benar, apabila wujudnya lapangan terbang ini nanti, sektor ekonomi buat warga DUN Bota terutamanya di Bandar Seri Iskandar akan mengalami perubahan yang cukup ketara. Namun, adilkah buat warga DUN Belanja jika pembangunan infrastruktur dan ekonomi hanya berpusat kepada DUN Bota semata-mata?

Inilah yang perlu dilakukanoleh Ahli Parlimen Parit yang akan datang. Pembangunan bagi kedua-dua DUN ini harus sekata supaya tidak ada seorang pun warga Parlimen Parit ketinggalan dari segi pembangunan keseluruhannya.

Perlu diberi tumpuan khas adalah menaik taraf kemudahan asas di Pekan Parit, memperindahkan Pekan Parit ini sesuai dengan statusnya sebagai Pekan Warisan Perak, menaik taraf jalan raya yang menghubungkan Pekan Parit dengan Siputeh mahupun Seri Iskandar dan paling utama, perlunya sebuah hospital di Parlimen ini.

Semua ini sudah lama disuarakan oleh anak Parit dan apa yang mendukacitakan, tidak ada satu pun usaha yang digerakkan untuk memenuhi keperluan pembangunan infrastruktur ini.

Hari ini, apa yang diharapkan adalah, memasuki penggal yang baru dan kemungkinan Ahli Parlimen yang baru, kesemua keperluan yang disuarakan oleh warga Parlimen Parit ini, wajar diberi perhatian khusus. Kita bakal mempunyai lapangan terbang dan seharusnya kita juga mempunyai prasarana yang terbaik.

Ulasan