Masa Depan Parit, Biar Anak Parit Yang Tentukan



Kebelakangan ini, warga Parlimen P069 Parit dilihat cukup sibuk menilai saat akhir, siapakah yang layak bertanding atas tiket Barisan Nasional dan sekaligus menjadi wakil mereka untuk penggal yang akan datang. Masing-masing sibuk menilai latar belakang seseorang calon samada calon berkenaan adalah anak jati Parlimen Parit ataupun tidak.

Tidak kurang juga ada beberapa pihak yang dilihat seperti sengaja mengundang orang luar terutamanya yang bukan anak kelahiran Parit atau setidak-tidaknya memahami sosio politik dan budaya Parlimen Parit itu sendiri. Sehinggakan, kehadiran mereka ini seperti mencampuri pemikiran warga Parit hanya semata-mata untuk menaikkan nama seseorang calon berkenaan.

Bagi mereka yang kurang memahami keadaan politik semasa di Parlimen Parit, sebenarnya, Parlimen ini masih lagi dianggap sebagai kubu kuat BN dan UMNO sejak sekian lama. Cuma, tragedi 1999 sahaja yang merosakkan tradisi ini. Namun, sejak itu, UMNO dan BN mampu untuk terus memenangi dua buah kerusi DUN dan Parlimen di sini.

Justeru, walaupun wujud sedikit perbezaan pendapat, siapa yang layak untuk bertanding di kerusi ini, hakikatnya, keutuhan dan ukhwah antara ahli dan kepimpinan UMNO di Parlimen ini, kekal kukuh. Semuanya hasil daripada pilihan anak tempatan sendiri tanpa ada sebarang unsur luar cuba mengganggu gugat kestabilan Parlimen ini sejak sekian lama.

Menurut beberapa pengundi di Parlimen ini, mereka sebenarnya tidak kisah siapa yang bakal menjadi calon UMNO dan Barisan Nasional untuk kerusi ini. Apa yang penting buat para pengundi ini adalah, calon berkenaan perlu tahu kehendak dan tahu untuk menyelesaikan permasalahan setempat supaya masa depan warga Parit kekal terjamin di bawah kerajaan BN.

Malah, para pengundi yang ditemui juga menzahirkan keengganan mereka menerima orang luar yang tidak ada kena mengena dengan Parlimen ini masuk campur urusan dalaman Parit. Bagi mereka, orang-orang ini tidak tahu dan tidak mengenali keadaan semasa di Parit serta permasalahan setempat yang dihadapi oleh warganya.

Oleh yang demikian, mereka cukup mengharapkan agar biarlah masa depan Parit ditentukan oleh tangan warganya sendiri tanpa ada sebarang unsur luar yang cuba mengganggu gugat kestabilan di Parit. Apa yang dibimbangi adalah, sebarang campur tangan luar akan membawa kepada hilangnya kestabilan politik dan seterusnya mengucar kacirkan kekuatan UMNO dan BN di Parlimen Parit.

Ulasan