Gelombang Penolakan Calon Di Parlimen Parit Semakin Kuat



Harus diakui bahawa hari ini, UMNO Bahagian Parit kini sedang berada dalam keadaan bergolak. Manakan tidak, sebaik sahaja pengumuman calon diumumkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir semalam, ramai dikalangan ahli UMNO Bahagian menzahirkan penolakan mereka terhadap senarai nama yang dicalon ini.

Ramai yang berpendapat, apa yang diumumkan semalam bukanlah suara akar umbi para pengundi dan ahli UMNO di Bahagian Parit. Bagi mereka, mereka mahukan satu suara yang kuat untuk membawa pembangunan lebih rapi dan tersusun di Parlimen ini terutamanya sekali di DUN Belanja yang selama ini dilihat jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan DUN Bota.

Malah, Ketua Bahagian UMNO Parit sendiri, Datuk Haji Mohd Zaim Abu Hasan menzahirkan rasa tidak puas hati beliau dengan calon yang bakal menggantikannya di Parlimen ini. Dalam hal ini, bukan lagi rahsia yang beliau turut menyimpan hasrat untuk terus bertanding di Parlimen ini dan hal ini dibuktikan apabila ramai dikalangan penyokongnya menzahirkan bantahan secara terbuka.

Ketika ditanya kepada salah seorang penyokongnya, dia yang enggan wajahnya dirakam serta namanya disiarkan memberitahu, sepatutnya, Datuk Haji Mohd Zaim dikekalkan sebagai Ahli Parlimen di Parit memandangkan beliau baru sahaja sepenggal menerajui Parlimen ini. Banyak lagi agenda pembangunan yang masih belum dilaksanakan oleh beliau.

Tambahnya lagi, sekiranya Datuk Haji Mohd Zaim tidak dicalonkan, mereka lebih selesa sekiranya Datuk Akmar Hisham Mohd Yusuf dicalonkan kerana beliau juga merupakan tenaga profesional yang dilahirkan di Parlimen ini. Malah, apa yang dilakukan oleh Datuk Akmar di Parlimen ini selama lebih setahun yang lalu menampakkan kredibilitinya sebagai bakal seorang calon yang mampu membawa pembangunan di Parlimen ini.

Dalam satu tinjauan yang dilakukan hari ini, banyak PDM dan Bilik Gerakan UMNO di Parlimen ini terutamanya di DUN Belanja, ditutup. Tidak diketahui samada penutupan ini dilakukan dengan sengaja atau mendapat arahan dari mana-mana pihak. Namun difahamkan, tindakan ini dilakukan sebagai tanda protes pengundi di Parlimen ini terhadap calon yang diumumkan semalam.

Memang benar, sukar untuk memuaskan hati semua pihak dalam urusan calon Pilihan Raya Umum ini. Namun, perlu juga diakui bahawa, senarai calon yang dipilih perlulah berwibawa, diterima baik oleh masyarakat dan tahu untuk buat kerja. Andai tersalah memilih, apa yang dibimbangi, satu-satunya kerusi milik UMNO di Perak Tengah ini mungkin akan jatuh ketangan pembangkang.

Ulasan