Anak Muda Ataupun Orang Lama Pilihan Warga Parit?



Dalam menghitung detik-detik akhir sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke 14 yang dijangka bakal diadakan dalam tempoh 30 hari ini, banyak persoalan bermain di minda para penyokong mahupun mereka yang berada diatas pagar. Masing-masing masih belum membuat keputusan, siapa yang akan mereka sokong kelak.

Satu perkara yang agak unik di Parlimen P069 Parit ini adalah, wujud persaingan sihat antara calon-calon UMNO yang akan mewakili Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak. Baik bagi kerusi DUN mahupun kerusi Parlimen, sentiasa wujud dua nama yang hangat diperkatakan oleh warga Parlimen Parit.

Paling hangat diperkatakan adalah persaingan bagi menjadi calon UMNO dan Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen. Umum mengetahui bahawa penyandangnya, Datuk Haji Mohd Zaim Abu Hasan masih mahu mempertahankan kerusi ini walaupun sudah lebih empat kali beliau menyatakan ingin berundur dari politik, termasuk di hadapan Datuk Seri Mohd Najib sendiri.

Satu lagi calon yang hangat diperkatakan adalah Datuk Akmar Hisham Mohd Yusuf, anak kelahiran Kampung Baru yang hari ini menjadi tenaga penggerak kepada kerajaan menerusi jawatannya sebagai Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri.

Bagi Datuk Haji Mohd Zaim, sudah semestinya beliau mempertaruhkan pengalamannya sebagai orang veteran di dalam politik Parlimen Parit. Beliau pernah menjadi ADUN Belanja sebelum beralih kepada kerusi Parlimen dan dalam beberapa kenyataannya, dia ingin mempertahankan jawatannya atas alasan, banyak lagi pembangunan yang masih belum mampu beliau laksanakan sepanjang 5 tahun menjadi Ahli Parlimen.

Bagi Datuk Akmar Hisham pula, keinginan kuat beliau untuk kembali berkhidmat kepada warga tanah kelahirannya menjadi pendorong kuat untuknya menjalankan gerak kerja sejak lebih setahun yang lalu. Malah, kelibat beliau amat disenangi oleh warga muda dan senior di Parit kerana pendekatannya lebih dekat dengan rakyat disamping memberikan harapan dan sinar baru buat warganya.

Kedua-duanya mempunyai kredibiliti yang tersendiri. Namun, jika kita melihat dari faktor umur, nyata sekali Datuk Akmar Hisham dilihat mempunyai peluang untuk dipilih sebagai calon, jika bersandarkan kepada kenyataan Perdana Menteri sebelum ini yang ingin melihat tenaga muda menjadi calon buat BN pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak.

Bukan mahu menidakkan peluang Datuk Haji Mohd Zaim. Beliau mempunyai kemahuan untuk terus berkhidmat kepada rakyat namun, beberapa perkara yang beliau sendiri gagal untuk selesaikan semasa menjadi Ahli Parlimen Parit memungkinkan peluang untuknya dipilih semula, agak tipis. Ditambah pula dengan faktor umur, mungkin sudah masanya untuk beliau berehat dari politik.

Ulasan