Adakah Perak Tengah Bakal Jatuh Ketangan Pakatan Pada PRU 14 Kali Ini?



Bagi mereka yang cukup memahami sosio politik di Perak hari ini, Perak Tengah adalah lokasi di mana ianya menjadi satu-satunya Parlimen yang masih belum mampu ditembusi oleh pembangkang walaupun mereka pernah berbuat demikian pada tahun 1999.

Antara faktor yang menyumbang kepada kekuatan BN di Perak Tengah atau lebih tepat lagi, Parlimen P069 Parit ini adalah, kesetiaan para pengundi di Parlimen ini terhadap BN setelah mengambil iktibar dengan apa yang berlaku pada 1999.

Bagi mereka yang mengingati detik hitam berkenaan, mereka pasti akan berkata, sepanjang penggal berkenaan, tidak ada apa yang mampu di bawa oleh Ahli Parlimen mahupun ADUN pembangkang pada ketika itu buat warga Parlimen Parit. Mereka terus ketinggalan sehinggakan kewujudan Parlimen ini langsung tidak mendapat perhatian dari kerajaan pusat mahupun negeri.

Hari ini, dikala kehangatan Pilihan Raya Umum ke 14 semakin dirasai, isu pemilihan calon BN bagi kerusi Parlimen Parit dan dua DUN di bawah Parlimen ini iaitu DUN Bota dan DUN Belanja juga hangat diperkatakan. Antara nama-nama yang hangat di sebut oleh warga Parlimen ini adalah penyandang jawatan ini, Datuk Haji Mohd Zaim dan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusuf.

Namun, disaat tumpuan terarah kepada dua nama ini, secara tiba-tiba munculnya nama penyandang kerusi DUN Belanja, Datuk Nizar Zakaria yang dikatakan bakal dicalonkan oleh BN bagi bertanding bagi kerusi Parlimen. Beliau akan ditentang oleh calon PAN, Tarmizi Mat Jam dan calon PAS, Dr Najihatusalehah Ahmad.

Nyata sekali, pemilihan ini cukup mengejutkan kerana nama beliau langsung tidak pernah disebut oleh mana-mana warga Parit sebagai calon BN bagi Parlimen ini. Malah, lebih memburukkan keadaan apabila Khairul Shahril Mohamed turut disebut sebagai calon BN untuk DUN Bota.

Sebelum ini nama kedua-dua mereka langsung tidak pernah di sebut yang mana Datuk Nizar disebut-sebut akan mempertahankan kerusi DUN Belanja. Persoalannya, andai berita ini sahih, adakah BN bakal memperjudikan nasib mereka di satu-satunya kerusi yang masih gagal ditawan pembangkang sepanjang jajaran Perak Tengah ini?

Mari kita renungkan sejenak kedudukan semasa Parlimen ini di Perak. Bermula dari Ipoh Timur dan Barat, Batu Gajah, Beruas, Pantai Remis dan Lumut, kesemuanya dikuasai oleh pembangkang dengan DAP di lihat cukup dominan di kesemua kawasan ini.

Keadaan ini sama sekali memperlihatkan kekuatan pembangkang yang pastinya akan menumpukan usaha mereka bagi menyempurnakan penguasaan mereka di Parlimen Parit. Di tambah pula dengan pemberontakan dalaman Parlimen Parit yang pasti berlaku seandai nama-nama calon ini dipilih oleh BN Perak, ianya memudahkan usaha Pakatan Harapan merampas kerusi ini dari tangan BN.

Mungkin, barisan kepimpinan negeri mempunyai formulanya yang tersendiri. Namun, jika bersandarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN pusat yang mengutamakan calon yang diterima rakyat dan mampu membuat kerja, nama-nama yang sedang menjadi tular ini, melanggar sama sekali apa yang dihajat oleh Datuk Seri Mohd Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mungkin sahaja kali ini, ianya menggambarkan BN bersedia untuk memberi sedekah amal jariah Parlimen Parit kepada pembangkang dan seterusnya menyempurnakan jaringan penguasaan pembangkang di Perak Tengah.

Ulasan

  1. Spekulasi diperingkat awalan dahulu jelas menunjukan muka baru yg winnable akan dicalonkan utk menduduki Kerusi Parlimen Parit disamping dua kerusi Dun Belanja diberi kpd penyandang Dato Nizar Zakaria dan Dun Bota akan diberi kpd muka baru juga kerana Dato Nasaruddin Hashim ingin memberi laluan kpd calon muda juga.
    Dalam perkembangan tersebut penyandang Dato Zaim yg telah lama tidak sesekali akan menduduki mana mana kerusi walaupun beliau mempunyai keinginan utk bertanding lagi.

    Dalam spekulasi terakhir disaat saat penamaan calon maka beberapa nama telah diberi oleh penyandang yg berkepentingan ini utk mencalonkan nama yg terdiri dari nama nama yg rapat dengan beliau. Apabila diwar warkan akan nama nama tersebut maka bergemalah suara suara sumbang mengatakan bahawa BN sengaja menempah maut utk PRU 14 kali ini.

    Secara tidak kita sedari ini adalah hanya tidak lebih dari permainan licik atau tactical political survival oleh sesaorang utk bertanding lagi.

    Suara suara sumbang ini akan dibawa ke pihak atasan utk membuat percaturan terakhir dgn alasan bahawa pergolakkan yg berlaku amat kritikal dan perlu khidmat beliau bagi meredakan keaadan.

    Dalam proses ini tidak mustahil ada yg akan terkorban atau mahupun sengaja akan dikorbankan utk memberi laluan kpd beliau dicalonkan kali ke enam.

    Putar belit ini akan diajukan kpd pihak atasan demi menyelamatkan bahagian yg berada dalam keaadan huru hara disamping memberikan alasan kukuh bahawa beliau masih mempunyai ramai penyokong penyokong dibelakangnya.

    BalasPadam

Catat Ulasan