Mungkinkah Wujud Pakatan Dengan Pembangkang Di Parlimen Parit?




Semakin hari, semakin terasa bahang Pilihan Raya Umum ke 14 terutamanya bagi warga Parlimen P069 Parit. Manakan tidak, persaingan dua penjuru antara penyandang, Datuk Haji Mohd Zaim Abu Hasan dan Datuk Akmar Hisham Mohd Yusuf cukup sengit. Hanya pengumuman rasmi siapakah yang bakal menjadi calon untuk Parlimen ini sahaja yang mampu merungkai segala persaingan ini.

Di saat persaingan ini semakin hangat, ada beberapa sumber memberitahu bahawa penyandang jawatan ini kini dalam fasa cuba menjalinkan kerjasama dengan pihak pembangkang bagi menampakkan beliau mempunyai sokongan dari akar umbi.

Beliau sedar, sudah banyak suara-suara yang semakin menolak pencalonan beliau untuk kali keenam dan mempertahankan kerusi yang beliau menangi pada 2013. Tambahan pula, sudah acapkali beliau menyuarakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi ini pada para pengundi di Parlimen ini termasuk dihadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sendiri.

Menurut sumber ini lagi, walaupun beliau sudah beberapa kali menyuarakan hasrat untuk tidak bertanding, namun beliau sendiri memungkiri apa yang diperkatakannya. Dari apa yang beliau lakukan hari ini, beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kerusi yang telah beliau menangi walaupun terpaksa menjalinkan kerjasama dengan penyokong pembangkang.

Tambahan pula, suara-suara anak muda semakin hari semakin lantang kedengaran yang mereka enggan lagi beliau mengetuai Parlimen ini. Mungkin disebabkan sedar akan kemungkinan hilangnya pengundi muda, beliau memikirkan, tidak salah kiranya beliau melakukan sesuatu yang tidak mungkin dilakukan oleh mana-mana ahli UMNO untuk menjalinkan kerjasama sedemikian.

Dalam hal ini, sepatutnya Datuk Haji Mohd Zaim perlu sedar bahawa sebarang percanggahan dengan apa yang beliau lafazkan sebelum ini akan menjatuhkan kredebilitinya sebagai ahli politik yang disegani. Tempoh 22 tahun bukan satu jangkamasa yang singkat. Rasanya sudah tiba waktunya, orang yang jauh lebih muda dan berkaliber menerajui kerusi ini.

Tidak guna kekal berkeras sedangkan suara akar umbi samada ahli UMNO mahupun pengundi Parlimen Parit itu sendiri sudah menyuarakan kemahuan mereka. Tidak guna menggerakkan usaha menjalinkan kerjasama dengan pembangkang mahupun mengamalkan cara politik kuno dengan mensabotaj lawan menjadi amalan demi mahu mengekalkan kuasa.

Andai menang sekalipun, apalah guna jika pengundi dan penduduk Parlimen Parit itu sendiri tidak mahu memberi kerjasama penuh terhadap pentadbirannya. Perlu diingat, Parit bukan hak milik beliau seorang. Selama 22 tahun di beri peluang, amat minima impak yang dibawa oleh beliau terutamanya sekali DUN Belanja.

Ulasan