Jika DUN Bota Boleh Ketengah Muka Baru, Kenapa Tidak DUN Belanja?



Di kala ini, mungkin ramai pengundi di DUN Bota sedang berkira-kira untuk menerima kehadiran Tuan Haji Mior Shahrin Bin Haji Mior Mohamad Yusop sebagai calon baru yang paling hangat dikaitkan dengan DUN ini. Pastinya keterujaan ini mudah difahami kerana calon ini adalah calon muda yang diangkat dari akar umbi UMNO Bahagian Parit.

Secara amnya, di dalam Parlimen P069 Parit ini, terdapat dua buah DUN iaitu DUN Bota dan DUN Belanja. Jika DUN Bota sudah boleh berkira-kira bakal mendapat calon muda bagi menggantikan Datuk Nasarudin Hashim yang telah mengumumkan persaraannya, timbul persoalan, bagaimana pula dengan DUN Belanja?

Sebenarnya, persoalan ini timbul apabila melihat gaya dan hasil kerja ADUN Belanja, Datuk Nizar Zakaria yang booleh dianggap tidak membawa impak besar kepada DUN ini. Sudah banyak ulasan dibuat tentang DUN ini yang mana seandainya kita lihat sendiri di DUN ini, pasti kita mengagak, pembangunan besar apa yang dibawa kedalam DUN ini.

Pekan Parit masih kekal seperti dahulu cuma ada terlalu sedikit penambahan terhadap pekan kecil ini. Pekan kecil Tanjung Belanja masih kekal seperti pekan tinggal. Jalan raya Parit-Siputeh masih kekal seperti jalan di zaman perang Jepun dahulu dan paling utama, DUN ini dilihat seperti langsung tidak produktif jika dibandingkan dengan DUN Bota yang dianggap sebagai cahaya buat Parlimen Parit.

Inilah yang banyak menimbulkan persoalan, sampai bila orang lama seperti beliau harus dikekalkan dan tiadakah calon yang lebih segar dan muda mampu membawa aspirasi pembangunan DUN ini pada PRU ke 14 kelak?

Tidak sukar untuk membandingkan keadaan semasa di DUN Belanja ini dengan DUN Bota. Boleh dikatakan, pembangunan antara dua DUN ini seperti langit dengan bumi yang mana DUN Bota cukup aktif dan ditambah pula dengan kewujudan Seri Iskandar yang dilihat seperti permata di Perak Tengah.

Mungkin, ada yang kurang bersetuju dengan pendapat ini. Namun, sekiranya kita sayangkan DUN yang dikuasai oleh BN sejak sekian lama dan mahu melihat perubahan drastik dari sudut pembangunan infrastruktur dan ekonomi, mungkin sudah tiba masanya calon baru yang lebih segar perlu dikemukakan. Persoalannya, siapakah yang layak untuk menerajui DUN Belanja ini?

Ulasan