Perniagaan Cina Di Parit Semakin Merosot, Apa Penyelesaiannya?




Pada satu kesempatan, penulis sempat menyelusuri sekitar pekan Parit dengan hanya berjalan kaki. Dari satu kedai ke satu kedai penulis tinjau, apa yang didapati, barangan yanga da di kebanyakan kedai di Pekan Parit semakin berkurangan. Malah, ketika menyelusuri sekitar gerai makanan juga mendapati, pengunjung yang datang juga tidak begitu meriah.

Penulis berpeluang bertanyakan terus dengan salah seorang pemilik kedai di Pekan Parit yang kebetulan baru sahaja menyambut Tahun Baru Cina. Dia yang enggan namanya disiarkan memberitahu, perniagaannya mula merosot sejak pertengahan tahun yang lalu.

Katanya, kemorosotan ini berpunca daripada kekurangan orang atau pengunjung singgah ke Pekan Parit. Menurutnya, para pengunjung atau mana-mana pelancong kini lebih senang menggunakan lebuh raya Ipoh Lumut daripada terpaksa melalui jalan raya penuh selekoh, berlubang-lubang dan sempit jalan Siputeh - Parit.

Katanya, kebanyakan peniaga di Pekan Parit hari ini sudah takut untuk mengambil stok yang banyak kerana apa yang diperhatikan, kekurangan pelanggan semakin hari semakin ketara, bukan sahaja kedainya malah hampir semua kedai yang ada di Pekan ini.

Melihat kepada rungutan peniaga ini, timbul persoalan, apa reaksi segera bagi menyelesaikan permasalahan setempat ini? Adakah dengan hanya membiarkan keadaan semasa berlalu begitu sahaja atau ada plan konstruktif bagi mengatasi masalah ini?

Harus kita faham, para peniaga di Pekan Parit ini juga penting dalam menggerakkan ekonomi semasa. Bayangkan sekiranya mereka mula memikirkan untuk menutup perniagaan mereka, bagaimana warga Parit dan Tanjung Belanja mahu mendapatkan bekalan asas mereka?

Mungkin boleh dengan menuju ke Seri Iskandar atau ke Pekan Beruas, namun harus diingat, untuk ke Seri Iskandar harus menempuh perjalanan antara 20 minit hingga 30 minit dan pekan Bruas pula lebih kurang sama jaraknya. Bukankah itu sudah membazirkan masa, wang dan tenaga termasuk bahan api hanya untuk membeli sayur, beras dan ikan sebagai contoh?

Sesuatu harus dilakukan oleh semua pihak termasuklah Ahli Parlimen dan ADUN Belanja bagi memastikan perkara sedemikian tidak berlaku. Antara langkah awal yang boleh dibuat adalah memastikan kerja naik taraf jalan Parit Siputeh dilaksanakan segera disamping usaha harus dipergiatkan bagi mempromosikan Parit sebagai salah satu pekan Warisan yang mampu menarik perhatian pelancong.

Jangan terus biarkan pekan Parit ini tenggelam begitu sahaja. Cukup sayang sebenarnya sekiranya pekan yang mempunyai potensi untuk dimajukan sesuai dengan gelaran Pekan Warisan ini dibiarkan mati tanpa ada sebarang usaha untuk terus menghidupkannya.

Ulasan