Jangan Jadikan Insiden 1999 Berulang Lagi Di Parlimen Parit


Boleh dikatakan, Parlimen Parit adalah salah sebuah kerusi selamat buat UMNO dan Barisan Nasional sejak sekian lama. Majoriti penduduk di Parlimen ini masih cukup setia dengan UMNO dan BN walaupun begitu banyak usaha yang digerakkan oleh pembangkang untuk menumbangkan calon yang dipilih oleh pucuk kepimpinan parti.

Tambahan pula, pembangkang begitu mengidamkan kerusi ini bagi melengkapkan penguasaan mereka di Perak Tengah yang mana, Parlimen Beruas, Batu Gajah dan Manjung, telahpun mereka kuasai. Hanya tinggal Parlimen Parit sahaja lagi yang masih gagal mereka tawan walaupun pernah berbuat demikian pada tahun 1999.

Mungkin pada tahun berkenaan, krisis melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup memainkan peranan dalam tertewasnya BN di kerusi ini. Disamping itu juga, masalah dalaman parti serta isu-isu rakyat yang gagal di tangani dengan berkesan juga turut menyumbang kepada tertewasnya UMNO dan BN di kerusi ini.

Hari ini, walaupun kedudukan UMNO cukup kuat di Parlimen ini, namun harus diingat, usah terbuai dengan kedudukan semasa seperti ini. Ini kerana, banyak rungutan rakyat terutamanya di DUN Belanja, gagal di tangani dengan baik.

Begitu banyak isu timbul di DUN ini seperti keadaan jalan raya Siputeh - Parit dan Parit - Beruas, tebing sungai yang rebak, pembangunan yang jauh ketinggalan berbanding jirannya DUN Bota, tiadan langsung kemajuan dan pembangunan di Pekan Kecil Tanjung Belanja dan sikap pilih kasih Ahli Parlimennya sendiri terhadap beberapa kampung di DUN ini.

Paling utama, pengundi muda di DUN ini seperti di sisihkan dengan hampir ketiadaan aktiviti yang berfaedah untuk mereka lakukan. Bukankah kedudukan ini cukup membahayakan ADUN dan Ahli Parlimennya itu sendiri? Kenapa disisihkan peranan anak muda dalam menceburkan diri dalam aktiviti berfaedah yang dianjurkan oleh UMNO dan BN di Parlimen ini?

Sesuatu yang harus difahami oleh Datuk Haji Mohd Zaim Abu Hasan selaku Ahli Parlimen dan Datuk Dr Mhd Nizar Zakaria selaku ADUN Belanja, seandainya permasalahan rakyat ini tidak ditangani dengan segera dan penuh berhemah, apa yang berlaku pada tahun 1999 bakal berulang kembali dan BN Perak mungkin akan kehilangan satu kerusi DUN disebabkan kelalaian mereka.

Mungkin hari ini mereka selesa dengan jawatan mereka selaku Ahli Parlimen, ADUN dan Exco Kerajaan Negeri. Namun, sukalah diingatkan bahawa, kedudukan mereka tidak akan kekal lama jika rakyat mendapati mereka gagal melakukan apa yang mereka telah janjikan pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu.

Tambahan pula, PAS dan PAN di lihat cukup agresif menyerang kedudukan Datuk Dr Mohd Nizar di DUN Belanja kerana di sinilah titik kelemahan penyandang Ahli Parlimen P069 Parit. Berbanding DUN Bota yang dilihat jauh lebih maju dari DUN Belanja, UMNO dan BN harus lebih mempertingkatkan usaha mereka memenangi hati rakyat daripada membiarkan segala masalah yang timbul semakin membukit.

Pastinya kita tidak mahu, apa yang berlaku pada 1999 berulang semula. Andai ini berlaku, sudah pastinya rakyat dan pengundi di DUN Belanja mahupun Parlimen Parit secara amnya akan rugi dan mungkin akan terbiar tanpa pembelaan sewajarnya daripada calon pembangkang.

Ulasan