Kebelakangan ini, dapat diperhatikan, banyak status yang dimuat naik di laman sosial milik anak-anak Parit ada mengandungi pelbagai kiasan yang dilihat seperti memerli antara satu sama lain. Walaupun ianya tidak terbawa-bawa kealam realiti, namun dibimbangi, ianya mungkin akan mempengaruhi orang luar yang tidak ada kena mengena dengan keadaan semasa.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 ini, mungkin ada pihak yang sudah berkira-kira untuk menyokong calon yang mungkin akan bertanding pada PRU ke 14 bagi kerusi Parlimen Parit ini. Tidak dinafikan, itu adalah lumrah bagi setiap pilihan raya.
Persoalannya, adakah berbaloi untuk membenci satu sama lain sedangkan kita bernaung di bawah satu bendera iaitu UMNO dan Barisan Nasional? Adakah kita ingin lihat perpecahan akan berlaku di dalam Parlimen Parit yang selama ini dikuasai oleh BN kecuali tahun 1999? Sudah tentu tidak bukan?
Kita mungkin faham sekiranya kita berusaha untuk "memerangi" dakyah pembangkang yang cuba mengintai peluang menumbangkan BN di Parlimen ini. Namun, apa yang tidak dapat difahami adalah, ada pihak yang seolah-olah cuba menyemai benih kebencian kepada satu pihak yang dikatakan mungkin menjadi calon bagi Parlimen ini.
Mungkin hari ini kita boleh menyebarkan pelbagai dakyah kononnya pihak itu orang luar dan sebagainya. Hakikat yang harus semua pihak telan adalah, pemilihan satu-satu calon bagi sesebuah kerusi Parlimen terletak di tangan Pengerusi BN itu sendiri iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan bukannya dipilih mengikut kehendak masing-masing.
Siapa pun yang dipilih, semua pihak harus menghormatinya. Seandainya Kem A di pilih, kem B harus menghormati dan menyokong penuh pemilihan Pengerusi BN dan begitu juga sebaliknya. Sekiranya keadaan semasa ini masih berterusan, adakah mungkin sempat untuk UMNO dan BN Parit merapatkan semula hubungan yang telah renggang?
Sepatutnya, semua pihak mengambil contoh yang telah ditunjukkan oleh dua orang pemimpin hebat di Parlimen Parit ini. Lihat sahaja hubungan baik antara Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof dan Datuk Haji Mohd Zaim Abu Hasan yang masih boleh duduk bersama dan berbincang tentang hala tuju Parit seandainya mereka dipilih kelak.
Tidak salah untuk berpolitik. Cuma apa yang perlu dikenal pasti adalah, kenali siapa musuh dan siapa kawan. Jika ini pun gagal dikenali, jangan tangisi sekiranya DUN Bota, Dun Belanja mahupun Parlimen Parit, akan jatuh ketangan pembangkangs eperti mana yang berlaku pada tahun 1999 dahulu.
Ulasan
Catat Ulasan