Ramai pemerhati politik d Perak Tengah menganggap, tempoh kempen Pilihan Raya Umum kali ini mungkin menyaksikan banyak lokasi panas akan wujud. Selain daripada pertembungan dalaman UMNO di Parlimen Parit, pertembungan antara BN, PAS dan PAN juga bakal menghangatkan suasana kempen pada PRU ke 14 kali ini.
Antara lokasi panas yang bakal menjadi tumpuan semasa tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke 14 nanti adalah DUN Belanja yang dikatakan mungkin bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandangnya, Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria dari BN, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib dari PAS dan berkemungkinan calon dari PAN bakal bertanding.
Apa yang menarik untuk diperkatakan adalah, bagi kalangan penduduk di DUN Belanja, kerap kali kedengaran rungutan yang menyatakan keadaan di DUN Belanja langsung tidak pernah berubah sejak sekian lama, walaupun BN berjaya memenangi kerusi ini sejak beberapa penggal yang lalu.
Begitu banyak rungutan yang diterima seperti kejadian banjir kilat, tebing sungai yang rebak yang membahayakan penduduk, keadaan pekan Tanjung Belanja dan Parit yang begitu uzur serta banyak lagi yang diperkatakan oleh rakyat. Sepatutnya, keadaan semasa di DUN Belanja tidak seperti kita lihat hari ini memandangkan BN yang menguasai kerusi ini sejak sekian lama.
Keadaan ini pantas dijadikan modal murahan oleh PAS dan PAN yang mengintai ruang dan peluang untuk merampas kerusi ini. Mereka menjadikan kelemahan dan keadaan semasa DUN Belanja sebagai modal untuk mereka merayu sokongan dari para penduduk di DUN ini.
Namun begitu, jika kita menilai menerusi logik pemikiran yang waras, mampukah PAS ataupun PAN membawa perubahan di DUN ini kerana umum sedia maklum bahawa mereka bukanlah sebuah kerajaan yang memerintah hari ini? Sebaliknya, mereka hanyalah suara pendesak dan pembangkang di mana pembangunan keseluruhan datangnya dari kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
Memang benar keadaan di DUN Belanja jauh ketinggalan berbanding DUN Bota. Namun harus diingat, kekuatan seseorang Ahli Parlimen yang bakal dipilih kelak letaknya dari seorang ADUN yang tahu membuat kerja dan mampu memimpin rakyat. Tanpa ADUN sebegini, sukar untuk Ahli Parlimen membuat sebarang kerja dan perancangan jangka panjang.
Ulasan
Catat Ulasan