Sebelum ini, kita kerap membicarakan tentang kemunduran yang membelenggu DUN Belanja sejak sekian lama walaupun Ahli Parlimennya adalah dari Barisan Nasional. Pelbagai isu telah kita sentuh untuk diambil perhatian oleh mereka yang berkenaan. Sekarang, tinggal reaksi mereka sahaja yang mampu menjawab 1001 persoalan tentang pembangunan di DUN Belanja.
Hari ini, kita ingin menyentuh tentang masa depan Parlimen P069 Parit pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak. Secara rawaknya, Parlimen ini adalah kubu kuat bagi UMNO dan Barisan Nasional dan pembangkang, samada PAS mahupun Pakatan Harapan, memang sukar untuk menembusi kubu kuat UMNO ini.
Namun begitu, sejarah telah menunjukkan bahawa pada tahun 1999, pada Pilihan Raya Umum ke ke 10, UMNO dan Barisan Nasional pernah tewas di DUN Bota, Dun Belanja dan kerusi Parlimen Parit itu sendiri. Malah, keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 lalu juga menunjukkan sedikit penurunan berbanding apa yang diraih pada Pilihan Raya Umum ke 12.
Persoalannya, adakah UMNO dan Barisan Nasional masih berasa selesa dengan keadaan semasa hari ini? Jika kita lihat di sekeliling Parlimen ini, di Parlimen Bruas, sejak dahulu lagi dikuasai oleh DAP. Begitu juga dengan Parlimen Batu Gajah. Justeru, untuk mengatakan Parlimen ini merupakan kerusi selamat, mungkin tidak berlaku lagi.
Menurut pemerhati politik di Parit, antara perkara yang menyumbang kepada ketidak tentuan ini adalah disebabkan kegagalan pemimpin yang dipilih oleh rakyat di kerusi Parlimen ini, gagal menunaikan janji yang mereka taburkan pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu.
Ianya sedikit sebanyak telah menghakis keyakinan pengundi terhadap pemimpin-pemimpin berkenaan dan sekiranya mereka dipilih sekali lagi, ada kemungkinan, kerusi Parlimen Parit akan terlepas ketangan pembangkang.
Jika diperhatikan, pembangkang tidaklah sekuat mana di Parlimen ini. Mereka hanya tahu mengambil kesempatan diatas pelbagai isu setempat namun mereka gagal untuk mengemukakan plan alternatif bagi menyelesaikan masalah rakyat. Sebagai contoh, pada tahun 1999, pembangkang berjaya memenangi kerusi Parlimen ini hanya disebabkan oleh pengaruh pemecatan Datuk Seri Anwar semata-mata.
Namun begitu, kita tidak boleh memandang mudah pembangkang yang mengintai peluang untuk menguasai kerusi ini. Mereka akan menggunakan apa sahaja cara termasuk mendekati para pegawai kerajaan dan guru-guru di Parlimen ini bagi mempengaruhi mereka menolak UMNO dan BN disebabkan rasa kurang senang terhadap seseorang pemimpin.
Usaha perlu dilipat ganda untuk memenangi hati para pengundi terutamanya mereka yang berkhidmat disektor kerajaan. Andai mereka menyuarakan penolakan terhadap Ahli Parlimen atau mana-mana ADUN di Parit, pemimpin atasan perlu mendengar kemahuan mereka kerana mereka tidak akan mungkin bersuara sedemikian sekiranya tidak timbul sebarang masalah.
Apa yang penting hari ini adalah, agenda pembangunan yang lebih tersusun dan adil diantara DUN Bota dan DUN Belanja supaya tidak ada seorang pun rakyat merasa diri mereka dipinggirkan, seperti apa yang sedang berlaku hari ini di dalam Parlimen P069, Parit.
Ulasan
Catat Ulasan