Kenapa DUN Bota Lebih Maju dari DUN Belanja?



Tidak kiralah apa jua fahaman politik, pembangunan seimbang adalah sesuatu yang wajib dilakukan oleh mana-mana pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat. Ini penting kerana, sekiranya pembangunan sesuatu tempat seperti di DUN mahupun Parlimen tidak dilakukan dengan seimbang, dikhuatiri rakyat akan mula bersuara dan mula menolak wakil rakyat berkenaan.

Inilah yang berlaku di Parlimen P069 Parit hari ini. Sekali imbas, Parlimen ini seperti tiada masalah yang membelenggu warganya. Namun, jika di teliti secara mendalam, ramai dikalangan warganya sudah mula menyuarakan ketidak puasan hati mereka terhadap cara pentadbiran Datuk Haji Mohd Zaim Abu Hasan yang merupakan Ahli Parlimen P069 Parit ini.

Manakan tidak, jika kita menyelusuri sepanjang jalan di Sri Iskandar sehinggalah Bota, kita akan saksikan pembangunan yang cukup tersusun dan landskap yang cukup cantik berada di sepanjang laluan ini terutamanya di Sri Iskandar.

Malah, rancangan untuk membina sebuah hospital mahupun lapangan terbang juga dirancang di bina di DUN Bota. Itu belum lagi pembangunan pusat akedemik seperti kolej-kolej dan institut pengajian yang hanya tertumpu di DUN Bota atau lebih tepat lagi, Sri Iskandar.

Tidak cukup dengan itu, pembangunan infrastruktur juga dirancang dengan rapi seolah-olah Parlimen Parit ini hanya mengandungi DUN Bota semata-mata.

Bagaimana pula pembangunan di DUN Belanja yang turut berada di Parlimen Parit? Untuk memasuki DUN ini, kita akan menempuh jalan raya yang penuh berliku dan berlubang-lubang yang menjadi penghubung penduduk DUN ini ke Ipoh mahupun Batu Gajah. Jalan raya ini dikenali sebagai "trek lumba berani mati" atau dikenali dengan nama jalan raya Parit-Siputeh.

Seandainya tidak mahu merisikokan kerosakan rim kereta atau tidak berani mengambil lebih 15 selekoh di sepanjang laluan ini, mungkin boleh menggunakan laluan Sri Iskandar - Parit yang jalannya agak cantik dan luas. Namun begitu, sesiapa yang ingin melalui jalan ini, dnasihatkan lalu pada waktu siang kerana pada waktu malam, tidak ada apa yang dapat disaksikan kerana tiada walau sebatang lampu jalan pun di pasang di sepanjang laluan ini.

Itu baru jalan masuk, belum lagi menceritakan bagaimana usangnya Pekan Parit dan pekan kecil Tanjung Belanja yang menjadi nadi buat penduduk sekitarnya. Memang cukup menghairankan, selama 4 penggal menjadi ADUN Belanja dan sepenggal menjadi Ahli Parlimen, tiada apa yang berubah di dua lokasi berkenaan.

Timbul persoalan, apakah dosa warga Pekan Parit, Tanjung Belanja dan sekitarnya terhadap Datuk Haji Mohd Zaim sehingga dibiarkan terabai begitu sahaja? Difahamkan, kerajaan negeri Perak telah mengiktiraf Pekan Parit sebagai Pekan Warisan Perak namun satu-satunya monumen yang diperindahkan adalah jam besar yang terdapat di persimpangan di Pekan Parit.

Apakah tiada keperluan untuk membawa pembangunan ke DUN Belanja ini? Adakah dengan memperindahkan DUN Bota dan membangunkan pelbagai infrastruktur mega di DUN Bota, sudah cukup melambangkan kemajuan yang ada di Parlimen Parit?

Jika ditanya kepada penduduk di DUN Belanja, adilkah pembangunan ini, sudah tentu mereka menjawab, langsung tidak adil. Sepatutnya, DUN Belanja ini berhak untuk menikmati pembangunan berterusan dan seimbang dengan DUN Bota dan bukannya dianak tirikan. Adakah salah sekiranya beberapa pembangunan di bawa ke DUN Belanja?

Ulasan