Bayangkan Semua Ini Dilaksana Sejak Dahulu...



Ramai yang menyambut baik ulasan yang diberikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambri Abdul Kadir yang memberitahu, projek hospital di 3 daerah di negeri ini, berjalan mengikut perancangan. 

Mengikut perancangan kerajaan negeri, Manjung, Parit Buntar dan Perak Tengah akan menerima sebuah hospital di mana Hospital Manjung akan dinaik taraf. Ianya sekaligus menafikan fitnah dan dakyah pembangkang yang mendakwa, pembinaan dan pengubah suaian hospital-hospital ini tertangguh akibat masalah peruntukan.

Bagi kami anak jati Perak Tengah, pengumuman ini disambut dengan penuh kesyukuran walaupun sehingga hari ini tapak pembinaan hospital berkenaan masih belum kelihatan.

Namun begitu, ketika berbual dengan beberapa orang penduduk di DUN Belanja sebentar tadi, ramai yang menzahirkan sedikit perasaan terkilan akibat kelewatan pembinaan sebuah hospital untuk Parlimen Parit ini.

Salah seorang penduduk di Pekan Parit yang enggan namanya disiarkan memberitahu, alangkah baiknya sekiranya pembinaan hospital ini dibuat lebih awal dari apa yangs edang dirancangkan. Menurutnya, sejak dahulu lagi, sekiranya ada warga Parit memerlukan rawatan, Hospital Batu Gajahlah tumpuan mereka.

Untuk kesana bukannya mudah dan jaraknya juga agak jauh. Tambahan pula, penduduk luar bandar seperti di DUN belanja ini, bukan semuanya berkemampuan untuk memiliki kereta sendiri. Itulah yang agak dia kesali walaupun dia cukup menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Dr Zambri di Lumut, kelmarin.

Seorang lagi penduduk memberitahu, andai benar projek pembinaan hospital berkenaan berjalan mengikut perancangan, dia ingin tahu, bagaimana pula projek membaik pulih dan melebarkan jalan yang menghubungkan antara Parit dan Siputeh?

Ini kerana, sejak dia masih muda lagi, jalan berkenaan masih begitu dan hanya ditampal sekiranya berlubang. Sudah banyak nyawa melayang di jalan berkenaan dan mengikut pemahamannya, bajet untuk menaik taraf jalan berkenaan sudah diluluskan sebanyak RM 75 juta. Namun, apa yang dia perhatikan, tiada pula tanda-tanda ada pekerja JKR memulakan kerja untuk mengukur jalan.

Seorang lagi warga Parit memberitahu, sudah banyak sangat janji ditaburkan termasuk kononnya mahu membina sebuah lapangan terbang di Parlimen ini, namun sehingga hari ini, tiada satu pun tertunai. Menurutnya, sekiranya seseorang Ketua Kampung itu baik dengan "orang besar" di Parit, maka kampungnya sahajalah akan di jaga termasuk menerima jalan yang berturap cantik.

Sebaliknya, sekiranya seseorang Ketua Kampung itu asyik melawan kehendaknya, maka kampung berkenaan akan terbiar begitu sahaja tanpa menerima bantuan terus dari "orang besar" berkenaan. Dia mempersoalkan, sampai bila semua ini harus berlaku di Parlimen Parit? Sampai bila warga Parit harus menerima hakikat bahawa mereka hanya menerima janji dan bukannya pembangunan?

Kesimpulannya, ramai yang menyatakan, alangkah baiknya buat warga Parlimen Parit sekiranya semua pembangunan yang dijanjikan, berjalan dengan lancar. Tidak perlu mereka terus menunggu dan menunggu sehingga menjangkau masa 2 dekad sekiranya segala janji yang ditaburkan, tertunai dengan penuh rasa tanggungjawab.

Ulasan