Apa yang hangat diperkatakan hari ini adalah, penyandang bagi kerusi berkenaan, Datuk Haji Mohd Zaim Abu Hasan dikhabarkan mahu mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU ke 13 yang lalu. Andai perkara ini menjadi kenyataan, timbul juga persoalan, apa rasionalnya beliau mahu bertanding untuk kali keenam?
Untuk rekod, beliau telah bertanding sebanyak lima kali di dalam Parlimen ini. Pada tahun 1995, beliau telah berjaya memenangi kerusi bagi DUN Belanja. Namun, pada tahun 1999, beliau tewas di tangan calon PAS sebelum merampas semula kerusi DUN Belanja berkenaan pada tahun 2004 dan mempertahankannya pada tahun 2008.
Pada tahun 2013, beliau telah bertanding di Parlimen Parit dan berjaya memenangi kerusi berkenaan. Melihat kepada rentetan perjalanan politik beliau, adakah wajar untuk beliau terus bertanding di Parlimen ini sedangkan sejak 5 penggal yang lalu, beliau sahajalah yang bertanding di kerusi DUN Belanja dan Parlimen Parit tanpa ada sesiapa boleh mencabar beliau?
Jika ditanya kepada para penyokong beliau, banyak jawapan yang menyokong beliau untuk terus bertanding di kerusi ini. Antaranya, hasrat beliau untuk membina sebuah hospital di Parlimen ini masih belum terlaksana dan mereka begitu yakin, hanya Datuk Haji Mohd Zaim sahajalah yang mampu memperjuangkannya.
Kumpulan ini juga mendakwa, tiada calon yang berkaliber sepertinya untuk diangkat sebagai pengganti beliau di Parit. Tidak ketinggalan juga, isu jalan raya yang menghubungkan Parit - Siputeh yang dianggap sebagaii jalan "zaman Jepun", masih belum siap disamping dakwaan kononnya beliau begitu pandai menjaga hati para kontraktor Melayu yang ada di Parlimen ini.

Pada masa yang sama, bagi mereka yang menolak pencalonan semula Datuk Haji Mohd Zaim ini, merkea juga mempunyai alasannya yang tersendiri. Secara amnya, majoriti pengundi di Parlimen ini amat mendambakan muka baru bagi mewakili mereka. Alasan mereka mudah, beliau telah menjadi wakil rakyat selama 22 tahun dan ianya dianggap sebagi terlalu lama untuk seseorang wakil rakyat.
Paling menyedihkan adalah kegagalan beliau untuk memastikan pembangunan di Parit terutamanya di DUN Belanja bergerak seiring dengan pembangunan negara hari ini. Lihat sahaja Pekan Parit dan Tanjung Belanja yang dianggap sebagai begitu mundur jika dibandingkan dengan DUN Bota yang mengandungi Seri Iskandar.
Di mana sahaja Parlimen di Malaysia, kelompok golongan muda pasti akan menjadi pengundi majoriti dan perkara yang sama turut berlaku di Parlimen Parit. Bagi golongan ini, mereka begitu mengidamkan seorang wakil rakyat yang mampu memahami kehendak mereka dan bukan hanya mementingkan kehendak pihak tertentu sahaja.
Malah, bagi pemerhati politik di Parit, mereka menganggap zaman Datuk Haji Mohd Zaim sudah lama berlalu dan mereka begitu yakin, sudah tidak ada ruang lagi buat beliau mengembangkan karier politiknya yang dianggap sudah menghampiri penghujung karier.
Jika sebelum ini, para penyokong beliau mendakwa, dirinya digeruni oleh majoriti pegawai kerajaan, namun hasil soal selidik yang dilakukan, kesemua pegawai kerajaan di Daerah Perak Tengah ini kurang senang dengan cara beliau mentadbir Parlimen ini. Ini memungkinkan kurangnya kerjasama antara pegawai kerajaan dengan Ahli Parlimen yang sepatutnya menjadi suara bagi rakyat dan para pegawai ini.
Secara kesimpulannya, ada jawapan pro dan ada jawapan kontra terhadap kewajaran Datuk Haji Mohd Zaim ini kembali bertanding. Apa yang penting hari ini, segala keputusan siapa yang bakal bertanding di bawah bendera Barisan Nasional di kerusi ini, akan ditentukan sendiri oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Tidak kiralah siapa, samada Datuk haji Mohd Zaim yang begitu mengidamkan untuk mempertahankan jawatannya ataupun pencabarnya, keputusan Datuk Seri Mohd Najib ini wajar dihormati oleh semua pihak. Usah wujud budaya cantas mencantas sehingga boleh merugikan BN dan UMNO secara amnya.
Ulasan
Catat Ulasan