Rupanya Baru Peringkat Kelulusan Awal...




Hangat diperkatakan di Parlimen P069 Parit apabila sebuah lapangan terbang akan di bina di Parlimen ini. Malah, pembinaan sebuah hospital yang begitu ditunggu-tunggu oleh penduduk di sekitar Parit juga dikatakan bakal dibina setelah baru mendapat kelulusan pembinaan.

Sebelum itu, laluan antara Siputeh dan Parit juga dilaporkan bakal di naik taraf setelah kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM 75 juta bagi tujuan itu dan tambahan lain sekiranya pihak Jabatan Kerja Raya mendapati perlu ada penambahan peruntukan bagi memastikan jalan yang sekian lama begitu teruk ini, dapat dinaik taraf.

Mendengar segala macam projek mega yang bakal masuk ke Parlimen Parit ini, sudah semestinya memberi sinar harapan buat penduduk di dalam Parlimen ini. Namun begitu, setelah beberapa bulan berita ini tersebar, terdapat satu perkhabaran yang kurang enak mengenai pembinaan lapangan terbang dan hospital ini.

Menurut beberapa sumber, berita pembinaan sebuah lapangan terbang sebenarnya baru peringkat kelulusan awal di mana kelulusan berkenaan tertakluk kepada kebenaran beberapa agensi untuk menilai lokasi pembinaan berkenaan sebelum ianya di muktamadkan oleh pihak kerajaan. Ianya bukanlah kelulusan pembinaan sebaliknya kelulusan menilai keboleh laksanaan.

Begitu juga dengan pembinaan sebuah hospital besar di Parit di mana ianya baru kelulusan awal keboleh laksanaan, bukannya kelulusan pembinaan terus. Ianya berlawanan dengan kelulusan RM 75 juta bagi menaik taraf jalan raya antara Siputeh ke Parit di mana kelulusan berkenaan memang sudah di war-warkan dan pihak JKR sedang mengukur jalan berkenaan.

Andai benar dakwaan ini, ingin ditanyakan, adakah ianya berbaloi untuk meraih undi sedangkan sejak beberapa penggal yang lalu, berita yang sama turut disebarkan di saat musim pilihan raya semakin tiba? Bukankah ianya hanya memberi impian palsu buat penduduk sekitar dan hanya menjanjikan sesuatu yang masih belum pasti pembinaannya?

Rasanya, sudah tiba masanya helah seperti ini dihentikan. Jika benar ada pembinaan berkenaan mahu dilakukan, barulah ianya boleh disebarkan untuk pengetahuan umum. Kelulusan awal keboleh laksanaan projek bukan menjanjikan projek berkenaan pasti dilakukan di sesebuah kawasan.

Gambar Hiasan
Ianya memerlukan pandangan positif panel penilai sebelum ianya di bawa keperingkat atasan untuk kelulusan. Tambahan pula, peruntukan untuk membina dua buah projek mega ini secara serentak bukannya sedikit dan sudah pastinya ia memerlukan kelulusan peringkat paling tinggi sebelum ianya boleh dibina dan dilaksanakan.

Sudah tiba masanya, rakyat di berikan penerangan yang sejelas-jelasnya berhubung banyak isu berbangkit di Parlimen ini. Kasihanilah rakyat Parlimen P069 Parit ini yang begitu dahagakan satu pembangunan yang khusus terutamanya bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

Ulasan