PRU14 : Najib Bakal Letak Calon Kepercayaan Bagi Perkasakan BN



Gendang Pilihan Raya Umum ke 14 semakin hari semakin kuat kedengaran dengan Persidangan Agung UMNO kali ini lebih memberi fokus kepada persiapan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Meneliti amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semalam, beliau jelas mahu kesemua ahli UMNO memberikan fokus berterusan terhadap persiapan Pilihan Raya Umum yang akan datang. Ujar beliau, beliau mahu ahli-ahli UMNO melupakan seketika Pemilihan Agung UMNO dan lebih memberi tumpuan terhadap persiapan menghadapi pilihan raya.

Di samping itu, beliau juga mahu UMNO dan Barisan Nasional kembali kuat dan kukuh. Sehubungan dengan itu, beliau dijangka bakal meletakkan calon-calon yang mendapat kepercayaan penuh daripada beliau bagi bertanding di kerusi-kerusi yang secara tradisinya di miliki oleh UMNO.

Mudah untuk disimpulkan bahawa, beliau mahukan satu jentera dan pasukan yang kuat kerana sejarah sebelum ini telah mengajar beliau banyak perkara. Jika masih ingat, bermula tahun 2013 hingga awal 2016, beliau begitu hebat diserang dan tidak ramai mereka yang menjadi ADUN ataupun Ahli Parlimen berani tampil mempertahankan beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau akan meletakkan calon yang beliau percaya mampu untuk bersama-sama dengan beliau disamping menampilkan sifat wala terhadap pemimpin bagi menghadapi hari-hari yang mendatang.

Penting untuk beliau merangka strategi seperti ini kerana cara politik hari ini telah jauh berubah. Pihak pembangkang hari ini begitu hebat menabur fitnah dan jika beliau tidak mempunyai pasukan yang bersedia mempertahankan parti dan kerajaan, apa yang berlaku pada 2013 hingga awal 2016 akan kembali berulang.

Justeru, seandainya beliau memilih untuk meletakkan calon yang beliau percaya dan yakini, keutuhan kerajaan dan Barisan Nasional mampu dikembalikan. Pastinya beliau lebih mampu menguruskan negara dengan lebih berkesan sekiranya calon-calon yang beliau percaya ini mampu menjalankan tugas mereka dengan lebih cemerlang.

Ulasan