Perlu Ada Usaha Mengukuhkan Pendapatan Warga Parlimen Parit


Dunia hari ini semakin hari semakin maju kehadapan. Sesuai dengan kemajuan ini, Malaysia juga menyasarkan untuk setiap rakyatnya memperolehi pendapatan pada aras yang tertinggi sesuai dengan status negara maju menjelang tahun 2020.

Hari ini, kerajaan begitu giat melaksanakan pelbagai perancangan ekonomi bagi memastikan sasaran berkenaan tercapai. Kerajaan bukan sahaja menyasarkan penduduk di kawasan bandar malah penduduk di luar bandar juga turut bakal menerima impak hasil daripada perancangan tersusun kerajaan ini.

Bagi Parlimen Parit, warganya secara majoriti adalah penduduk di liar bandar yang meliputi banyak kampung dan mengusahakan hasil tanaman dan getah. Melihat kepada perancangan besar kerajaan ini, timbul persoalan, adakah warga Parit serta kawasan sekitarnya, Bota dan beberapa kawasan yang diluar dari Seri Iskandar, dapat merasai nikmat perkembangan ekonomi ini?

Secara luaran, sejak berdekad lamanya, kawasan Parit dan sekitarnya tidak pernah berubah dengan drastik. Boleh dikatakan, kawasan ini seperti dipinggitkan walaupun UMNO dan Barisan Nasional menguasai Parlimen ini sejak sekian lama. Jika mahu diberikan kepada pembangkang, rasanya mungkin lagi teruk nasib warga Parit dan kawasan sekitarnya.

Maka disinilah perlunya satu perancangan yang rapi dan tersusun untuk membolehkan warga Parit dan sekitarnya merasai nikmat perkembangan ekonomi yang tersusun. Hari ini, secara majoritinya, kebanyakan warga Parit lebih banyak mengusahakan hasil tani dan berkebun getah. Sesuatu harus dilakukan bagi membolehkan kelompok dalam kategori B40 ini menikmati hasil yang lebih lumayan.

Sebagai contoh, mungkin hasil getah yang ditoreh oleh para penoreh di kawasan Parit ini di pasarkan secara berkelompok dengan kesemua pemilik ladang getah berdaftar di bawah satu persatuan dengan segala hasil getah diniagakan oleh persatuan. Setidak-tidaknya, sekiranya harga getah jatuh, persatuan mampu untuk menjualnya pada harga yang agak tinggi berbanding harga pasaran.

Begitu juga bagi mereka yang berminat dengan perniagaan samada makanan, peruncitan dan sebagainya. Kelompok ini perlu dibantu oleh mereka yang bertanggungjawab terutamanya sekali ADUN dan Ahli Parlimen di Parlimen ini. Seandainya mereka tidak di bantu dengan pelbagai bantuan dan geran yang telah dibuka oleh kerajaan, percayalah, kelompok ini akan terus ketinggalan dan tidak akan kemana.

Bagi mereka yang mempunyai dusun buah-buahan, mereka yang mentadbir Parlimen ini wajar menjalinkan kerjasama dengan FAMA dan pelbagai agensi yang lain agar hasil buah-buahan mereka dapat dipasarkan dengan lebih meluas. Disamping itu, bagi mereka yang meminati hasil kraf, mereka juga boleh dirujuk kepada Kraftangan Malaysia untuk memasarkan produk kraf mereka kepada pasaran yang lebih luas.

Paling utama, ADUN ataupun Ahli Parlimen di Parit perlu mengambil peluang dengan pengisytiharan Pekan Parit sebagai Pekan Warisan negeri Perak. Perbaiki kesemua infrastruktur asas seperti jalan raya, pengangkutan awam dan terminal bas agar ianya mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong luar untuk singgah ke Parit.

Tidak keterlaluan juga sekiranya perlu diwujudkan satu hotel bajet yang boleh didiami oleh pengunjung luar selain daripada memperbanyakkan homestay di lokasi yang mampu menjadi daya tarikan pelancong.

Jangan hanya tahu beretorik politik dan menabur janji-janji yang entah bila akan tertunai. Suara dari penulisan ini memang tidak sebesar mana namun suara inilah yang membawa begitu banyak cadangan buat mereka yang mempunyai kuasa bagi membantu majoriti penduduk Parlimen Parit yang terlalu dahagakan pembangunan. Jangan tidakkan suara orang bawahan!

Ulasan