Parlimen Parit Dahagakan Mereka Yang Mampu Bela Nasib Rakyat




Memang agak sukar untuk penduduk di sesuatu Parlimen dapat menyuarakan masalah dan pendapat mereka untuk disampaikan kepada kepimpinan tertinggi Barisan Nasional sekiranya seseorang Wakil Rakyat yang sepatutnya menjadi wakil dan suara mereka ke Parlimen, tidak selantang yang diharapkan.

Malah, permasalahan setempat juga tidak dapat disuarakan di peringkat DUN seandainya wakil rakyat di peringkat DUN juga tidak mampu membawa permasalahan dan isu rakyat untuk diketengahkan kepada Menteri besar dan barisan Exconya.

Inilah dilema yang dihadapi oleh majoriti penduduk Parlimen Parit yang kerap kali mengeluh tentang kesukaran mereka membawa permasalahan rakyat keperingkat atasan. Menurut beberapa orang penduduk di Parlimen ini terutamanya mereka yang tinggal di Pekan Parit, keluhan mereka seperti tidak kedengaran walaupun Parlimen ini diwakili oleh wakli rakyat UMNO dan Barisan Nasional.

Sepatutnya, sebagai sebuah kerajaan, pekan Parit dan kawasan sekitarnya tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa aada sebarang pembelaan ataupun pembangunan. Menurut beberapa penduduk yang ditemui, sepatutnya pembangunan dibawa secara berterusan jika bersandarkan kepada keadaan semasa di Seri Iskandar.

Namun apa yang berlaku menjadi sebaliknya. Usahkan kata pembangunan, membaik pulih keadaan semasa di Pekan Parit dan kawasan sekitarnya juga tidak dipandang dengan serius oleh wakil rakyatnya. Lihat sahaja aduan mengenai beberapa runtuhan yang berlaku di sepanjang Sungai Perak di kawasan Tanjung Belanja.

Dari tinjauan yang dilakukan, tidak ada sebarang tindakan serius diambil bagi mengatasi masalah ini. Persoalannya, sampai bila suara dan keluhan penduduk setempat terus dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang usaha mendengar dan mengatasi masalah setempat? Sampai bila suara penduduk di sekitar Pekan Parit dan Tanjung Belanja dibiarkan begitu sahaja tanpa pembelaan sewajarnya?

Inilah sebab kenapa penduduk di sekitar Pekan Parit dan Tanjung Belanja amat dahagakan seorang wakil rakyat yang mampu bersuara bagi pihak mereka ke peringkat atasan dan bukannya hanya mendengar mereka yang hanya tahu mengampu dan berada disekitarnya sahaja. 

Ulasan