Mereka Pun Anak Kelahiran Parit Juga...



Bulan lalu, menerusi blog ini, penulis ada menyentuh mengenai suara-suara anak-anak kelahiran Parlimen Parit yang berjaya di luar tetapi di anak tirikan di dalam Parlimen itu sendiri. Memang agak menyedihkan apabila mereka yang mempunyai idea untuk pembangunan, habis di cantas terlebih dahulu kerana bimbangkan akan kemungkinan mereka mencabar Ahli Parlimen di sini.

Malah, terdapat laporan mendakwa, ada diantara pegawai-pegawai Kerajaan, guru-guru mahupun mereka yang mempunyai jawatan dalam sektor awam di Parlimen ini ditukarkan serta merta hanya kerana kelantangan mereka memberi idea. Itu belum lagi mengambil kira berapa ramai anak Parit yang hanya boleh menegur dari luar tanpa ada sebarang reaksi dari mereka yang berkenaan.

Kenapa semua ini boleh berlaku? Bukankah mereka juga anak-anak jati kelahiran Parlimen Parit yang ramai diantaranya telah berjaya di luar sana? Kenapa perlu mencantas kebolehan dan idea mereka-mereka ini hanya semata-mata mahu mengekalkan kuasa selagi hayat dikandung badan?

Bagi kebanyakan kawasan Parlimen di seluruh negara, suara dan idea yang dilontarkan oleh mereka yang bijak pandai atau yang telah berjaya di luar, sentiasa diambil peduli. Namun, tidak bagi Parlimen Parit.

Satu persatu mereka yang mengkritik cara pentadbiran Ahli Parlimen di sini disenyapkan begitu sahaja. Malah, idea-idea pembangunan juga dipandang sepi. Paling mendukacitakan, mereka yang secara terang-terangan lahir di Parlimen Parit, mengundi di Parlimen ini dan kedua ibu bapa mereka masih di Parit, dituduh sebagai orang luar yang cuba menjatuhkan kepimpinan sedia ada.

Adakah ini amalan demokrasi yang ada di Parlimen ini? Patutlah keadaan di Bota, Parit, Tanjung Belanja dan kawasan sekitarnya kekal di takuk yang lama dan tiada perubahan langsung sejak berdekad lamanya. Idea dan kecerdikan warganya sendiri dinafikan oleh mereka yang memiliki kuasa.

Lebih memburukkan keadaan, orang yang bekerja di bawah mereka yang memiliki kuasa ini lebih sudu dari kuah. Ianya seumpama hikayat cerita Melayu lama-lama di mana para pegawainya mempunyai kuasa untuk memilih, siapa yang bersama dan siapa pula yang menentang. Persoalannya, sampai bila semua ini harus terus berlaku di Parlimen Parit?

Rasanya, sudah sampai masanya, ruang bicara antara anak kelahiran Parit yang terbukti berjaya di luar, dibuka seluas-luasnya. Andai perkara sebegini masih berterusan, rasanya sudah tiba masanya tenaga baru yang mempunyai visi yang jauh lebih luas, diberikan peluang. Tidak guna mengekalkan seseorang itu kekal berkuasa berdekad-dekad lamanya namun keadaan semasa masih tidak ada sebarang perubahan.

Ulasan