Kukuhkah Pertahanan UMNO Di P069 Parit?



Sejak sekian lama, Parlimen P069 Parit adalah kubu kuat bagi UMNO dan Barisan Nasional. Ini berlawanan dengan parlimen bersebelahan Parit, Parlimen Bruas dan Parlimen batu Gajah yang menyaksikan DAP menguasai kedua-dua Parlimen berkenaan.

Secara amnya, Parlimen ini dilihat sebagai antara kawasan yang wajib menang buat UMNO dan BN. Namun begitu, timbul persoalan, sejauh mana UMNO dan BN mampu mengekalkan kuasa di kerusi ini? Adakah kali ini, PAS yang selama ini menjadi pesaing terhebat UMNO di kerusi ini, mampu menawan Parlimen ini dan mencatatkan sejarah hitam buat P069 Parit?

Mengimbau semula keputusan yang diraih pada Pilihan Raya Umum ke 13 lalu, Datuk Haji Mohd Zaim Abu Hassan berjaya mempertahankan kerusi ini apabila menewaskan calon dari PAS, Muhammad Ismi Mat Taib dengan majoriti 4,497 undi.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri, kedua-dua calom Barisan Nasional, Drs Mohd Nizar Zakaria dan Datuk Nasaruddin Hashim berjaya memenangi DUN Belanja dan DUN Bota setelah mengalahkan lawan masing-masing.

Mungkin secara kasarnya, pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak, mereka tidak ada masalah untuk mempertahankan kerusi yang mereka sandang pada penggal ini. Namun begitu, menerusi perkhabaran baru yang diterima, Datuk Nasaruddin Hashim dilaporkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Bota dan perkara ini telah pun disampaikan kepada Menteri Besar Perak.

Jadinya, tinggallah dua orang calon veteran yang dilihat masih berminat mempertahankan jawatan masing-masing walaupun jika dilihat menerusi trend terkini, ramai dikalangan pengundi di Parlimen Parit mahukan calon baru yang lebih muda daripada penyandangnya ketika ini.

Inilah yang menjadi persoalan dikalangan ahli UMNO dan pengundi di Parit. Masih kukuhkah benteng pertahanan UMNO sekiranya calon lama yang terbukti gagal melaksanakan janjinya di Parlimen ini terus dikekalkan untuk penggal yang akan datang? Adakah kali ini PAS dan PPBM akan meraih laba yang besar disebalik penolakan pengundi luar bandar terhadap calon Parlimen ini?

Soalan ini mungkin agak sukar untuk dijawab memandangkan Parlimen ini sememangnya mempunyai ahli UMNO yang ramai. Sudah banyak percubaan untuk menumbangkan UMNO di Parlimen ini namun sehingga kini masih menemui jalan buntu.

Namun begitu, sekiranya sentimen pengundi luar bandar yang rata-rata telah mula bersuara menzahirkan kekecewaan mereka terhadap cara pengurusan dan pentadbiran Ahli Parlimen yang telah menjadi wakil mereka sejak 22 tahun, tidak sesuatu yang mustahil Parlimen ini akan tumbang disebabkan kemahuan individu yang mahu terus mengekalkan jawatannya.

Harus diingat, Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengingatkan kepada semua pihak agar mengutamakan kehendak pengundi terlebih dahulu. Kemenangan seseorang calon bukanlah disebabkan oleh kemahuan diri sendiri. Sebaliknya ia terletak di tangan pengundi yang keluar mengundi pada hari berkenaan.

Mungkin, pihak-pihak yang berkenaan merasakan, mereka telah melakukan sebaik yang boleh untuk pembangunan di Parlimen Parit. Namun, jika dihitung dan dinilai pembangunan berkenaan, semuanya berpusat di Sri Iskandar dan secara berterusan sejak berdekad lamanya, Parit dan kawasan sekitarnya dibiarkan mundur.

Malah, deretan janji sejak beberapa Pilihan Raya Umum yang lalu juga masih belum terlaksana. Inilah yang cukup dibimbangkan kerana andai kesemua perkara ini didendangkan pembangkang semasa kempen Pilihan Raya Umum ke 14 kelak, benteng pertahanan UMNO di Parit akan roboh dengan sendirinya.

Persoalannya, mahukan kesemua pengundi di Parlimen Parit hidup di bawah pentadbiran pembangkang seperti di Parlimen Bruas dan Batu Gajah? Sudah tentu tidak. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya rentak pembaharuan dilaksanakan di Parit di samping mengukuhkan semula UMNO dan BN di Parit agar terus membawa pembangunan yang selama ini tertangguh!

Ulasan