Apa Sudah Jadi Dengan Koperasi Wanita Parit?




Penubuhan sesuatu koperasi sebenarnya cukup baik untuk membantu masyarakat setempat menggerakkan urusniaga. Tambahan pula, jika diuruskan dengan cemerlang, pastinya ahli-ahli koperasi akan menerima habuan hasil daripada pelaburan yang mereka buat.

Hari ini, memang banyak koperasi yang telah terbukti berjaya dan mampu untuk meningkatkan pendapatan ahli-ahlinya menerusi pelbagai program yang di atur. Namun, lain pula halnya dengan sebuah koperasi yang ditubuhkan di Parlimen Parit ini.

Diberitakan menerusi satu sumber, koperasi yang diberi nama Koperasi Teraju Wanita ini dianggotai oleh Wanita UMNO Parlimen Parit dengan masing-masing mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM 200 setiap seorang. Malah diberitakan, keahlian koperasi ini sudah mencecah angka 100 orang dan ianya sudah cukup mampu untuk menggerakkan sesuatu program secara bersama.

Namun begitu, menurut beberapa sumber dari dalam Parlimen ini sendiri memberitahu, seperti ada yang tidak kena, Koperasi Teraju Wanita ini sehingga kini masih gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan. Menurut sumber-sumber ini lagi, kali terakhir mesyuarat agung melibatkan semua ahli berlangsung adalah pada tahun 2013.

Mereka bukanlah mahu mempersoalkan kewibawaan ketua koperasi berkenaan cuma menurut sumber ini lagi, kebanyakan ahli tertanya-tanya, masih wujudkan koperasi ini di Parlimen Parit kerana sehingga hari ini mereka langsung tidak tahu akan kewujudannya sejak 2013.

Malah, ramai dikalangan ahli koperasi sendiri tertanya-tanya, apa sudah jadi dengan yuran awal yang dibayar sebanyak RM 200 berkenaan bagi melayakkan mereka menjadi ahli koperasi. Menurut sumber ini lagi, ramai ahli-ahli koperasi berkenaan ingin tahu perjalanan koperasi berkenaan sekiranya masih lagi beroperasi seperti biasa.

Andai benar seperti yang disampaikan oleh beberapa orang sumber yang telah menjadi ahli koperasi berkenaan, ingin juga ditanya, apa nasib koperasi berkenaan. Adakah koperasi berkenaan masih beroperasi ataupun sebaliknya? Adakah koperasi berkenaan telah menggantung pendaftaran atau aktivitinya tanpa memberitahu para ahli koperasi berkenaan?

Paling utama, kenapa tidak diadakan Mesyuarat Agung Tahunan yang kali terakhir diadakan kira-kira 4 tahun yang lalu? Sekiranya benar dakwaan ini, bukankah ianya telah melanggar syarat-syarat penubuhan koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)?

Ulasan