Di Parlimen P069 Parit hari ini, selain hangat memperkatakan tentang beberapa projek yang di war-warkan oleh mereka yang berkenaan, isu calon yang bakal menerajui Parlimen ini juga turut mendapat perhatian ramai.
Manakan tidak, ada yang mengatakan, Parlimen P069 Parit ini memerlukan tenaga baru yang lebih muda untuk menyuntik idea yang lebih segar dalam usaha membangunkan Parlimen ini. Malah,a da yang mendakwa, adalah lebih baik mengekalkan mereka yang sedia ada demi kelangsungan perancangan di Parlimen Parit ini.
Jika bercerita tentang calon pilihan, setiap pengundi Parlimen ini mempunyai pandangan mereka masing-masing. Secara amnya, para pengundi begitu mengidamkan pembangunan yang lebih baik dari apa yang dinikmati hari ini. Malah, sudah banyak cadangan dan idea dilontarkan namun sehingga hari ini, belum ada satu pun yang dapat dibawa.

Mudah untuk difahami bahawa penduduk luar bandar begitu dahagakan pembangunan infrastruktur yang jauh lebih baik berbanding apa yang ada pada hari ini. Janji untuk pembinaan sebuah hospital, projek naik taraf jalan Parit-Siputeh, Jambatan di Bota malah lapangan terbang sudah terlalu kerap di mainkan sejak beberapa penggal yang lalu.
Apa yang menyedihkan, tidak ada satupun projek berkenaan di bangunkan walaupun ianya sudah cukup lama kedengaran. Kesemua projek-projek besar ini hanya akan kedengaran di mainkan semula disaat musim pilihan raya semakin tiba dan janji-janji kosong inilah yang dijadikan modal oleh pembangkang untuk menumbangkan UMNO dan BN di Parlimen ini.
Satu perkara yang harus diperakui oleh semua peringkat kepimpinan UMNO Parlimen ini adalah, kesetiaan para pengundi Parlimen ini terhadap siapa sahaja calon yang diletakkan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.
Tidak seperti kawasan Parlimen sekeliling Parlimen Parit, hanya Parlimen ini sahaja yang masih kekal di bawah penguasaan UMNO dan BN walaupun penduduknya sering ternanti-nanti, bilakah projek-projek yang dijanjikan itu akan terlaksana.
Benar, hak untuk memilih siapa jua calon untuk parlimen ini terletak di tangan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional. Namun, apa yang harus diambil kira adalah sentimen pengundi terutamanya Indeks Penunjuk Prestasi (KPI) seseorang calon sepanjang menjadi Yang Berhormat di sesebuah Parlimen itu.
Tidak ada gunanya menabur janji di ambang Pilihan Raya Umum sekiranya sepanjang tempoh pentadbiran, tidak ada satu pun janji-janji berkenaan di tunaikan. Rakyat walaupun mereka tinggal di luar bandar menilai, sejauh mana seseorang Yang Berhormat itu mampu untuk menunaikan janji yang mereka taburkan.
Ulasan
Catat Ulasan