Parlimen Parit Tumpuan PH Untuk Kuasai Perak Tengah



Bagi Pakatan Harapan Perak, mereka sebenarnya telah berjaya menguasai kerusi Parlimen yang dilihat cukup strategik. Malah, sejak sekian lama, mereka menumpukan usaha untuk menawan keseluruhan kawasan di Kinta dan Perak Tengah yang mana Ipoh Barat, Ipoh Timur, Batu Gajah, Beruas dan Lumut telah pun mereka kuasai sejak sekian lama.

Kini, hanya tinggal Parlimen Parit sahaja yang masih gagal mereka kuasai walaupun pada tahun 1999, mereka telah berjaya mengusai sepenuhnya keseluruhan kerusi di Kinta dan Perak Tengah. Sehingga kini, mereka masih gagal mengulangi rekod pada tahun 1999 dan UMNO serta Barisan Nasional Bahagian Parit kekal komited mempertahankan kerusi ini dari ditawan semula oleh pembangkang.

Namun begitu, timbul persoalan, berapa lama kerusi ini mampu dipertahankan oleh UMNO dan BN memandangkan di utara, timur dan selatan Parlimen ini telah pun dimiliki oleh pembangkang? Mujurlah jiran terdekat Parlimen ini, Parlimen Kuala Kangsar masih kekal dikuasai oleh BN walaupun mereka turut menyasarkan untuk menguasai Kuala Kangsar dan Padang Rengas.

Dalam hal ini, harus diakui bahawa kerusi ini sememangnya menjadi sasaran utama pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke 14 kali ini. Andai tidak berhati-hati dan masih terus bertelagah sesama sendiri, apa yang dikhuatiri oleh ramai pihak terhadap nasib Parlimen Parit ini, mungkin akan jadi kenyataan.

Justeru, disinilah letaknya kekuatan dan perpaduan yang perlu ada di dalam UMNO dan BN. PAN yang bakal mempertaruhkan calonnya menerusi Tarmizi Mohd Jam pastinya akan mendapat sokongan kuat dari superiornya, DAP dan rakan pakatan pembangkang yang lain bagi memastikan mereka berjaya merampas kerusi ini dari tangan BN.

Pada masa yang sama, PAS menerusi bakal calonnya, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib juga turut mengintai peluang bagi menjadikan kerusi ini milik PAS semula. Bagi UMNO dan BN pula, calon yang bakal diketengahkan perlu diterima baik oleh rakyat tanpa ada sebarang bantahan.

Perlu diingatkan kepada semua warga Parlimen Parit, di Parlimen inilah letaknya Bandar Ilmu Perak, Seri Iskandar yang sekian lama begitu diidamkan oleh pembangkang. Mahukah kita kehilangan Bandar Ilmu yang turut diiktiraf negara antara yang terbaik di seluruh negara? Sudah tentu kita tidak mahu perkara seumpama ini berlaku.

Paling utama, seandainya kerusi ini terlepas ketangan pembangkang, usaha pembangunan berterusan yang begitu rancak dirangka oleh kerajaan negeri dan pusat, bakal terencat. Yang akan mengalami kerugian secara total adalah warga Parlimen Parit itu sendiri.

Ulasan