Jangan Mudah Terpedaya Janji Pembangkang



Mungkin buat pembangkang yang bakal bertanding di Parlimen Parit, pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa pembentangan Manifesto BN di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu sebagai satu manifesto penuh retorik dan sukar untuk dilaksanakan.

Manakan tidak, sudah sekian lama berita pembangunan sebuah lapangan terbang di Perak Tengah dimainkan dan sehingga kini masih belum dilaksanakan. Namun, kali ini, mana mungkin seorang Pengerusi BN mahu menipu pembinaan seumpama ini dihadapan jutaan rakyat Malaysia yang menonton secara langsung di kaca televisyen?

Sebelum ini, calon PAN, Tarmizi Mat Jam mendakwa, pembinaan lapangan terbang inihanyalah retorik UMNO dan Bn semata-mata bagi memancing undi pada setiap Pilihan Raya Umum. Malah PAS sendiri pernah mendakwa, UMNO dan BN Parit hanya menabur janji palsu kepada rakyat.

Hakikatnya, di bawah pentabiran Datuk Seri Mohd Najib, apa yang dijanjikan di seluruh negara ditunaikan berlandaskan manifesto BN sebelum ini. Kerajaan sentiasa komited untuk menunaikan janji dan sehingga artikel ini ditulis, 99.4 peratus janji kerajaan pada PRU ke 13 yang lalu, telah ditunaikan.

Berbanding dengan pembangkang, semua janji yang mereka tabur hanyalah janji kosong semata-mata. Malah, pernah diungkapkan oleh pemimpin pembangkang bahawa, manifesto mereka bukanlah satu janji yang perlu ditepati.

Lebih memburukkan keadaan, hampir kesemua pemimpin pembangkang hanya akan muncul apabila tiba musim pilihan raya. Sebelum itu, mereka hilang entah di mana dan ini termasuklah Parlimen atau DUN yang mereka menangi. Sudah banyak contoh buruk ini telah ditunjukkan oleh para Ahli Parlimen mahupun ADUN pembangkang di seluruh negara.

Oleh yang demikian, apa yang diharapkan, rakyat Parlimen Parit secara khususnya dapat memilih yang mana satu permata dan mana satu kaca. Benar, mungkin ada janji yang dibuat sebelum ini gagal dilaksanakan. Namun percayalah, BN masih lagi parti yang terbaik dalam membela nasib rakyat berbanding pembangkang.


Ulasan