Rata-rata pengundi di Parlimen P069 Parit kini sedang ternanti-nati, detik mendebarkan Pilihan Raya Umum ke 14 yang dijangka bakal diadakan kurang dari 60 hari. Masing-masing berteka teki, siapakah yang bakal bertanding samada di pihak Barisan Nasional mahupun pembangkang pada PRU ke 14 kali ini.
Di pihak Barisan Nasional, sudah semestinya BN akan mempertahankan kerusi Parlimen, DUN Bota dan DUN Belanja yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu. UMNO Bahagian Parit sudah semestinya menjadi parti yang paling sibuk mengatur strategi, siapa yang patut bertanding di ketiga-tiga kerusi ini.

Bagi PAN, nama Termizi Mat Jam sudah lama dikaitkan dengan kerusi Parlimen ini. Menariknya, walaupun dia kerap kali memuat naik poster kononnya memperjuangkan nasib penduduk di Parit, beliau lebih senang berada di luar Parlimen ini daripada cuba mendekati pengundi di kerusi ini. Cuma sejak akhir-akhir ini sahaja kelibatnya mudah dilihat di sekitar Parlimen Parit.
Bagi PPBM pula, menurut beberapa sumber yang boleh dipercayai, nama Azrol Aziz dikatakan bakal bertanding di DUN Bota dengan Dr Faizol Fadzli Haji Mohamed bakal bertanding di DUN Belanja. Menariknya, pada tahun 1999, Dr Faizol merupakan calon PAS yang berjaya menumbangkan Datuk haji Mohd Zaim Abu Hasan dengan majoriti 119 undi.
Kali ini, dia tampil selaku calon PPBM yang mana besar kemungkinan dia akan menentang calon BN, Datuk Nizar Zakaria dan calon PAS, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib. Persoalannya, mampukah Datuk Nizar bertahan di sebalik asakan bekas ADUN Belanja ini di waktu ramai yang mempersoalkan pembangunan yang dibawa di DUN Belanja sepanjang tempoh pentadbirannya.
Bagi Parlimen Parit, ramai yang masih tertanya-tanya samada UMNO Bahagian Parit masih mahu mengekalkan Datuk haji Mohd Zaim selaku calon atau memilih calon muda bagi mengharungi detik getir kali ini. Selain daripada nama Datuk Haji Mohd Zaim, nama Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusuf juga turut disebut-sebut sebagai calon BN kali ini.

Kesimpulannya, Parlimen P069 Parit kali ini bakal menjadi perhatian dikalangan para pemerhati politik. Pertembungan tiga penjuru yang besar kemungkinan bakal berlaku kali ini memungkinkan akan wujud satu persaingan sengit untuk melihat, siapa yang bakal menjadi Ahli Parlimen dan ADUN bagi ketiga-tiga kerusi di Perak Tengah ini.
Ulasan
Catat Ulasan