Dijangkakan, tinggal kira-kira seminggu sahaja lagi, Parlimen mungkin akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke 14. Dalam hal ini, mungkin masing-masing sedang merangka strategi atau meramalkan samada calon-calon mereka yang mereka pilih, tercalon ataupun tidak.
Keadaan seperti ini dapat kita lihat di seluruh negara dan perkara yang sama tidak terkecuali dengan Parlimen P069 Parit. Lebih setahun sudah berlalu yang mana menyaksikan dua nama begitu kerap disebut oleh warga Parit untuk menjadi Ahli Parlimen di kawasan ini. Tidak terkecuali juga, DUN Bota dan Belanja yang turut memperkatakan tentang hal yang sama siapa yang akan mewakili mereka untuk penggal yang akan datang.
Harus diakui, pilihan untuk menjadi Ahli parlimen terletak ditangan pucuk pimpinan Barisan Nasional pusat. Bagi DUN pula, ianya terletak kepada Pengerusi Barisan Nasional negeri untuk memutuskan siapa yang paling layak untuk bertanding.
Persoalannya, adakah pihak-pihak yang merasakan diri mereka akan dipilih kelak, boleh berlapang dada dan memberi sokongan yang penuh kepada calon yang dipilih oleh Barisan Nasional pusat dan negeri? Adakah mungkin tidak akan berlaku unsur-unsur sabotaj termasuk menjalinkan kerjasama dengan pembangkang hanya untuk melihat calon yang dipilih kali ini kalah?
Semua pihak perlu ingat, mereka yang dipilih ini kelak sudah disaring dan diteliti gerak kerja mereka. Ianya tidak dipilih sesuka hati sahaja kerana ianya melibatkan seluruh warga Parit untuk lima tahun yang akan datang.
Sebarang usaha mensabotaj ataupun cuba untuk menggagalkan kemenangan Barisan Nasional di Parit kelak akan merugikan rakyat. Benar, mungkin akan ada yang sukar untuk menerima hakikat bahawa nama mereka tidak terpilih. Namun, jika mereka bermuhasabah diri, mungkin ada sebabnya kenapa nama mereka kali ini digugurkan.
Oleh yang demikian, tidak kira nama mereka terpilih ataupun tidak, sudah tiba masanya untuk semua pihak merapatkan saf dan berjuang demi untuk rakyat. Tolak ketepi kemahuan individu kerana apa yang paling utama hari ini adalah, kerajaan yang ada hari ini dapati dikekalkan dan pembangunan lebih komprehensif buat warga Parit akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Ulasan
Catat Ulasan