Ramai yang berpendapat, sukan mampu menyatu padukan rakyat tanpa mengira apa jua fahaman politik dan perkauman. Disamping dapat menyihatkan badan, sukan juga mampu untuk mendidik tahap disiplin yang tinggi dan membentuk jati diri yang berkesan.
Mengambil kira akan hal ini, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusuf telah menganjurkan beberapa aktiviti sukan buat warga Parlimen Parit. Sebelum ini, pada 21 Januari yang lalu, beliau telah menganjurkan pertandingan bola sepak 9 sebelah di Bota yang menarik penyertaan banyak pasukan di sekitar Parlimen ini.
Kali ini, beliau menganjurkan pertandingan ragbi 10 sepasukan yang dianjurkan di Padang SMK Sultan Muhammad IV bermula hari ini dan berakhir esok. Di beritakan, penganjuran buat julung-julung kali bagi merebut piala Datuk Akmar Hisham ini mendapat sambutan hangat dari banyak pasukan di Parlimen Parit ini.
Ianya bukan satu perkara yang perlu dihairankan kerana di Parlimen ini, kegiatan sukan begitu aktif dan dengan penganjuran ini, ianya dianggap seperti pucuk dicita, ulam yang meendatang. Tidak hairanlah apabila ramai anak muda begitu bersemangat dan gembira dengan penganjuran dua sukan yang menjadi kegilaan warga di Parlimen Parit.
Ditambah pula dengan latar belakang Datuk Akmar yang begitu aktif dalam bidang sukan terutamanya bidang sukan ekstrim, ianya seperti menjadi tonik tambahan buat para atlet yang mengambil bahagian, memperagakan aksi yang cukup menghiburkan.
Justeru, buat warga Parit yang mempunyai waktu kelapangan, dijemput semua hadir ke Padang SMK Sultan Muhammad IV bagi memeriahkan kejohanan yang dianjurkan buat julung-julung kalinya ini.
Ulasan
Catat Ulasan