Bahang Pilihan Raya Umum ke 14 semakin hari semakin dirasai bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia malah bagi penduduk di Parlimen Parit. Ada sahaja bahan propaganda mula tersebar dan ada juga gerak kerja kempen sudah mula bergerak bagi memenangi hati pengundi. Biasalah, inilah yang dipanggil demokrasi.
Namun begitu, ada sesuatu perkara yang menarik perhatian penulis di Parlimen ini. Selain daripada gerak kerja kempen yang digerakkan oleh UMNO, PAS mahupun PAN, satu cara kempen kuno juga mula bergerak kesekitar DUN Belanja mahupun di DUN Bota.
Kempen kuno yang di maksudkan adalah kempen murahan bagi menjatuhkan kredibiliti seseorang calon yang mungkin dipilih oleh pucuk pimpinan UMNO kelak. Memang diakui, sehingga kini kita tidak tahu siapa yang akan dipilih oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai calon UMNO dan Barisan Nasional di Parlimen Parit.
Namun begitu, ada dikalangan penyokong Ahli Parlimen Parit, Datuk Haji Mohd Zaim Abu Hasan, mereka begitu giat menyebarkan dakyah kononnya Datuk Akmar Hisham Mohd Yusuf adalah orang luar yang dikatakan lahir di Kampar, Perak. Malah, ada juga dakwaan yang menyatakan beliau bukanlah pengundi di Parlimen Parit dan tidak layak untuk diangkat sebagai calon.
Sehingga dikhabarkan, sudah ada usaha digerakkan untuk menggantung kain rentang bagi memburukkan imej Datuk Akmar yang dikenali sebagai Datuk Mok di sekitar Parit. Memang menghairankan kerana menerusi beberapa kaji selidik yang dilakukan, beliau adalah anak jati Parlimen Parit dan bukannya orang luar seperti yang diperkatakan.
Malah, seandainya benar beliau anak kelahiran Kampar, adakah salah baginya di calonkan sekiranya nama beliau dipilih oleh Yang Amat Berhormat, Presiden UMNO? Adakah salah orang sepertinya di pilih sedangkan di Perak hari ini, bukan setakat orang luar, malah keturunan mamak juga diangkat sebagai orang yang berkuasa di Perak.
Perlu diingatkan, Datuk Mok sememangnya anak jati kelahiran Parlimen Parit. Cuma mungkin, beliau jarang berada di Parit kerana tugas hakikinya adalah Setiausaha AKhbar Perdana Menteri yang memerlukannya untuk berada di Putrajaya bagi melicinkan pentadbiran Perdana Menteri.
Namun itu bukan bermakna, kelayakan beliau untuk diangkat sebagai calon sekiranya dipilih oleh Presiden UMNO kelak, berkubur begitu sahaja. Tidak ada sesiapapun yang dapat menolak atau mempertikaikan bahawa beliau sememangnya anak kelahiran Parlimen Parit dan bersedia untuk berkhidmat kepada seluruh warga Parlimen Parit seandainya namanya dipilih kelak.
Ulasan
Catat Ulasan