Kata orang, mengkritik memang mudah. Namun apabila diserahkan kuasa di tangan, ianya tidak mudah seperti yang disangka. AKan ada sahaja rungutan dari ramai pihak yang mempersoalkan tindak tanduk seseorang yang telah dijulang sebagai ketua mahupun Wakil Rakyat.
Senario di Parlimen Parit sebenarnya cukup unik. Manakan tidak, di saat hampir kesemua kerusi Parlimen di keliling Parlimen ini dikuasai pembangkang, kecuali kerusi Parlimen Kuala Kangsar, corak dan pentadbiran Parlimen Parit sepanjang penggal ini berlangsung, saling tidak tumpah seperti ceritera dahulu kala yang mana pegawai Istana bertindak sesuka hatinya terhadap rakyat jelata.
Kita biasa di sajikan kisah sedemikian menerusi tayangan filem dahulu yang dilakonkan oleh barisan aktor lagenda. Andai kita masih ingat, ada sahaja babak penghulu mahupun Orang Kaya Istana yang dirakamkan bertindak sewenang-wenangnya kepada mereka yang menentang penguasaan mereka di sesebuah kampung mahupun daerah.
Kira-kira lebih 60 tahun kemudian, apa yang disajikan menerusi layar perak lakonan hebat para aktor dan aktres lagenda kita, berlaku di Parlimen Parit. Tinjauan penulis di beberapa perkampungan di sekitar DUN Belanja mendapati, ada kampung yang langsung tidak menerima sentuhan pembangunan di sebabkan mereka menentang pentadbiran yang ada pada ketika ini.
Dakwa beberapa penduduk kampung yang ditemui, sejak mereka enggan lagi patuh kepada pemimpin berkenaan, kampung mereka dibiarkan terbiar. Sebagai contoh, ada kampung yang menerima jalan berturap kemas sedangkan kampung mereka, laluan untuk memasuki kampung berkenaan terbiar dan penuh berlubang-lubang.
Selain itu, kemahuan anak muda untuk beriadah juga kerap kali dipandang enteng oleh pihak-pihak berkenaan. Biasalah anak muda, kemahuan mereka untuk bermain futsal mahupun bola sepak padang memang tidak dapat dinafikan. Namun, apabila kurangnya kerjasama antara pemimpin dengan anak muda, maka bukan satu perkara mengejutkan apabila mereka sendiri mula menolak pemimpin berkenaan.
APa yang dapat disimpulkan adalah, tidak kira siapa yang bakal dicalonkan oleh UMNO dan Barisan Nasional untuk Parlimen ini, apa yang perlu mereka lakukan adalah memahami dan selesaikan permasalahan dan kehendak rakyat terlebih dahulu sebelum mengutamakan kehendak diri sendiri.
Mereka harus ingat, kedudukan mereka hari ini datangnya daripada rakyat yang memberikan amanah kepada mereka untuk memimpin dua buah DUN di Parlimen Parit ini. Seandainya amanah dan mandat yang diberikan kepada mereka ini dikhianati, usah diratapi seandainya nama mereka tercicir dari pencalonan dari parti walau mereka mengeluarkan air mata darah sekalipun.
Ulasan
Catat Ulasan