Cukupkah Sekadar Janji Kosong Bagi Meraih Populariti?



Di peringkat kerajaan pusat di bawah pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, selain daripada slogan 1 Malaysia, slogan janji ditepati juga menjadi pegangan beliau dan Barisan Nasional dalam menguruskan negara.

Beliau sedar, sekiranya deretan janji yang terkandung di dalam manifesto Pilihan Raya Barisan Nasional tidak ditepati, rakyat akan menilai, sejauh mana sesebuah kerajaan itu berfungsi. Pastinya beliau enggan mendengar dan melihat, rakyat mempertikaikan kegagalan kerajaan Barisan Nasional dalam menunaikan janji yang telah di beri kepada rakyat.

Namun, aspirasi pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib ini gagal diterjemahkan di peringat Parlimen P069, Parit. Semasa kempen Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu, Ahli Parlimen Parit, Datuk Haji Mohd Zaim Abu Hasan telah memberikan pelbagai janji termasuklah usaha menaik taraf jalan raya Parit-Siputeh, membangunkan Pekan Parit dan pembinaan sebuah hospital.

Sudah empat tahun berlalu dan sehingga hampir menjelangnya Pilihan Raya Umum ke 14, hampir tiada walau satu pun janji yang beliau beri, ditunaikan. Jalan raya Parit-Siputeh masih seperti jalan raya era zaman perang Jepun, Pekan Parit masih seperti pekan koboi yang ditinggalkan, pekan kecil Tanjung Belanja masih seperti pekan hantu dan lebih menyedihkan, bayang hospital pun masih belum kelihatan.

Di fahamkan, janji-janji ini sebenarnya telah ditabur sejak kali pertama beliau dilantik sebagai ADUN Belanja pada tahun 1995. Sehingga hari ini, kesemua yang beliau janjikan, masih gagal dilaksanakan. Malah, tidak diketahui kenapa beliau gagal melaksanakan janji-janji yang beliau taburkan pada setiap kali kempen pilihan raya berlangsung.

Kadang kala timbul juga persoalan, adakah beliau hanya menabur pelbagai janji bagi memastikan beliau memenangi pilihan raya tanpa memperdulikan samada janji-janji berkenaan di tunaikan ataupun sebaliknya?

Andai itulah yang beliau fikir, adalah agak malang buat para pengundi di Parlimen Parit apa memberi kepercayaan buat seorang ahli politik yang sepatutnya tahu akan aspirasi kerajaan dan berpengalaman, namun gagal untuk menunaikan janji buat keseluruhan warga Parlimen P069 Parit.

Ulasan