Dalam sejarah peradaban dunia, sekiranya seseorang itu memegang tampuk pemerintahan dalam tempoh yang agak lama, sedikit demi sedikit dia akan ditenggelami oleh kuasa itu sendiri. Dari seorang pemimpin yang baik, dia akan bertukar menjadi pemimpin kuku besi dan mangamalkan pemerintahan ala diktator.
Sejarah telah banyak menunjukkan bagaimana orang-orang seperti ini akhirnya ditumbangkan dengan kuasa rakyat yang menolak sama sekali pentadbiran ala diktator dan kuku besi ini. Lihat sahaja Suharto yang metadbir Indonesia selama lebih 30 tahun. Robert Mugabe juga antara pemimpin yang ditumbangkan dengan cara yang agak memalukan.
Di Malaysia hari ini, memang belum ada lagi kebangkitan rakyat yang berjaya menumbangkan sesuatu kerajaan yang ditadbir begitu lama. Paling lama seorang pemimpin itu berada ditampuk kuasa hanyalah melibatkan Tun Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun. Itu pun dia sendiri memilih untuk meletakkan jawatan.
Menariknya di Parlimen Parit, terdapat seorang Ahli Parlimen yang memegang kuasa selama 22 tahun namun enggan melepaskan jawatannya walaupun suara akar umbi di Parlimen ini jelas mahukan wakil yang lebih muda dan mempunyai pandangan yang jauh.
Bagi Datuk Haji Mohd Zaim Abu Hasan, beliau merasakan dirinya masih diterima oleh majoriti pengundi di Parlimen P069 Parit ini. Hakikatnya, dengan deretan janji yang ditabur semasa kempen Pilihan Raya Umum yang lalu yang masih belum ditunaikan sehingga hari ini, majoriti pengundi yang mengangkatnya sebagai Ahli Parlimen sudah mula menyuarakan penolakan mereka terhadap beliau.

Malah, jika ada muka baru yang berani tampil kehadapan bagi mencabar kedudukannya, orang berkenaan akan dicantas terlebih dahulu sebelum mampu tampil mencabar kedudukannya. Timbul persoalan, bukankah langkah ini, sekiranya benar, boleh dianggap sebagai langkah kuku besi atau cara pentadbiran ala diktator?
Sepatutnya, sebagai seorang yang berpengalaman dalam mentadbir sesebuah kerusi Parlimen, beliau patut sedar akan sentimen rakyat. Kedudukan yang dia raih hari ini bukannya didapati secara automatik atau hasil daripada lobi melobi mereka yang mengampu dirinya setiap hari.
Semua ini diperolehi hasil daripada undi dan kepercayaan penduduk Parlimen P069 Parit itu sendiri dan yakin akan kemampuannya menunaikan segala janji yang telah ditaburkan. Dalam tempoh 22 tahun, ianya bukan satu jangka masa yang singkat dan sepatutnya, beliau telah berjaya melaksanakan semua janji-janjinya.
Namun, apa yang dilihat hari ini, pembangunan jelas tidak seimbang dengan pekan Parit dan sekitarnya boleh dianggap sebagai terbiar dan tidak dibangunkan secara komprehensif. Sebaliknya, pembangunan berterusan terus dinikmati oleh penduduk di Seri Iskandar dan tempiasnya juga turut dirasi di Bota.
Jangan secara terus menerus menyalah gunakan kuasa yang ada hanya untuk mengekalkan kuasa yang dipegang selama 22 tahun. Selamilah kehendak rakyat dan fahamilah siapa yang rakyat pilih. Usah terlalu terawang-awangan dengan cerita dan laporan orang sekeliling sedangkan rakyat hari ini menilai sejauh mana kemampuannya mentadbir Parlimen ini sejak beberapa penggal yang lalu.
Ulasan
Catat Ulasan