Masa Depan Rakyat Bukan Boleh Bersandar Pada Janji Kosong


Apabila tiba musim pilihan raya, bagi kalangan rakyat biasa, mereka ingin mendengar apakah yang akan di berikan di kawasan mereka oleh calon-calon yang bakal bertanding. Paling utama, bagi kalangan rakyat, mereka mahu tahu samada pembangunan akan terus di bawa oleh seseorang calon bagi memajukan kawasan setempat.

Inilah yang selalu dititik beratkan oleh rakyat disamping keperibadian seseorang calon berkenaan. Harus diingat, seperti mana yang diingatkan oleh Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pemilihan seseorang calon bukan hanya terletak kepada pangkat di satu-satu bahagian atau populariti semata-mata.

Pemilihan seseorang calon dari UMNO turut sama akan mengambil kira sentimen penerimaan rakyat dengan calon berkenaan sudah melakukan yang terbaik di kawasan yang sudah atau bakal mereka tandingi.

Di Parlimen Parit hari ini, rata-rata penduduk di kawasan Parit dan sekitarnya cukup dahagakan pembangunan berterusan serta infrastruktur asas seperti pembinaan hospital di kawasan ini. Selama ini, penduduk di kawasan sekitar Pekan Parit terpaksa ke Batu Gajah bagi menghantar pesakit yang memerlukan rawatan daripada doktor ataupun doktor pakar.

Bukankah ini satu perkara yang amat menyiksakan penduduk kawasan sekitar Pekan Parit? Sudahlah mahu menuju ke Batu Gajah terpaksa menempuh jalan yang penuh selekoh merbahaya, sempit dan jalan yang tidak teratur antara Siputeh - Parit, perjalannnya juga mengambil masa yang lama untuk tiba ke hospital Batu Gajah.

Persoalannya, sampai bila penduduk dan rakyat di kawasan sekitar Parit ini terpaksa menelan hakikat bahawa apa yang mereka impikan sudah sekian lama ditenggelamkan oleh janji-janji kosong yang entah bila akan kunjung tiba? Adakah mereka yang berkenaan merasakan sudah cukup memberi janji kosong yang sudah berpenggal-penggal belum dilaksanakan sehingga hari ini?

Walaupun penduduk di kawasan Parit dan sekitarnya boleh dianggap sebagai pengundi luar bandar namun perlu diingatkan bahawa mereka juga adalah pengundi di P069 Parlimen Parit.

Seandainya hak mereka yang mahukan pembangunan di bawa ke Parit ini sentiasa di mungkiri atau tidak dipedulikan, bukan satu perkara mustahil Parlimen Parit yang selama ini dikategorikan sebagai kawasan putih oleh UMNO dan Barisan Nasional, akan dirampas pembangkang jika mereka menggunakan isu pembangunan ini sebagai modal kempen mereka.

Ulasan