Berapa Banyak Nyawa Lagi Harus Dikorbankan?



Bulan lalu, menerusi laman blog ini, penulis ada menyentuh mengenai kedaifan jaringan jalan raya yang menghubungkan Parit -Siputeh dan Parit - Seri Iskandar yang dianggap merbahaya kepada pengguna. Disebabkan kedaifan jaringan jalan raya inilah yang menjadikan Pekan Parit maju sedikit dari pekan koboi.

Kali ini, penulis terpanggil sekali lagi untuk menyentuh kedua-dua jalan raya ini. Apa yang ingin penulis sentuh adalah, berapa banyak nyawa harus dikorbankan sebelum proses naik taraf jalan raya antara Parit dan Siputeh dapat dilaksanakan? Berapa lama lagi pengguna jalan raya Parit - Seri Iskandar harus menempuh kegelapan malam tanpa disinari oleh sebatang lampu jalan pun?

Sepanjang sebulan selepas artikel yang menegur tentang kedaifan jalan raya Parit - Siputeh yang sempit, berlopak dan penuh berliku, dikhabarkan, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 75 juta untuk menaik taraf jalan rara berkenaan. Malah, diberitakan, Jabatana Kerja Raya (JKR) sedangd alam proses mengukur jalan berkenaan.

Setidak-tidaknya, kita boleh mengucapkan syukur andai benar kesemua perkara ini berlaku. Cuma apa yang amat-amat menghairankan, kenapa baru sekarang semua ini mahu dilaksanakan? Kenapa tidak sejak dari dahulu lagi proses dan permohonan naik taraf jalan raya ini dilakukan?

Untuk makluman, hampir setiap bulan, pasti ada kemalangan maut berlaku disepanjang jalan menghubungkan Parit dan Siputeh ini di mana kebanyakan kemalangan berkenaan melibatkan kenderaan awam dengan bas atau pun lori.

Seandainya proses naik taraf ini dilakukan sejak dari dahulu, bukankah semua ini dapat dielakkan dan tidak akan kedengaran rungutan dan kemarahan warga Parit? Lebih menghairankan, Parlimen P069 ini dikuasai oleh UMNO dan BN di mana penyandangnya sudah 22 tahun mentadbir Parlimen ini.

Kenapa baru dihujung-hujung penggalnya barulah wujud peruntukan RM 75 juta untuk naik taraf jalan ini? Adakah sebelum ini, Ahli Parlimen berkenaan langsung tidak pernah membuat sebarang permohonan bagi menaik taraf jalan Parit - Siputeh kerana terlalu sibuk membangunkan Seri Iskandar?

Satu lagi lokasi yang harus diberi tumpuan adalah jalan dari Parit ke Seri Iskandar yang sejak dari awal siapnya jalan ini, lampu jalan tidak langsung dipasang di sepanjang laluan ini. Diberitakan, ramai yang telah terkorban akibat kemalangan dengan binatang buas seperti khinzir di sepanjang laluan ini.

Diakui, disepanjang laluan ini, pengguna akan melihat deretan pokok getah dan kelapa sawit. Namun begitu, adakah dengan kewujudan ladang-ladang ini menjadi penghalang buat mana-mana pihak memasang lampu jalan? Perlukah orang yang menggunakan jalan ini meletakkan nyawa mereka sebagai taruhan?

Ini bukanlah artikel untuk menghentam mana-mana pihak. Artikel ini dizahirkan kerana wujud perasaan kecewa kerana apa yang diperjuangkan dari dahulu, tidak dipedulikan sehinggalah tiba musim pilihan raya kali ini.

Apa yang diharapkan, peruntukan RM 75 yang diumumkan untuk menaik taraf jalan antara Parit dan Siputeh ini bukanlah hanya pengumuman demi memancing undi. Penduduk Parit dan sekitarnya sudah terlalu muak mendengar pelbagai janji yang tidak pernah dipenuhi. Apa yang mahu dilihat hari ini adalah perlaksanaan dan bukannya janji kosong semata-mata.

Ulasan