PRU 14 Bukan Lagi Berkisar Kepada Populariti Semata-Mata



Mungkin ramai yang menganggap, Pilihan Raya Umum ke 14 yang akan datang ini hampir sama seperti suasana Pilihan Raya Umum yang ke 13 yang lalu. Pandangan ini berkisar kepada keadaan semasa politik tanahair yang dilihat hampir sama semasa sebelum gendang Pilihan Raya Umum ke 13 lalu dengan lawan yang hadir juga, hampir sama seperti dahulu.

Namun begitu, ramai yang terlepas pandang bahawa Pilihan Raya Umum ke 14 yang akan datang sebenarnya tidak lagi sama seperti Pilihan Raya sebelum ini. Pandangan ini diutarakan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokles ketika menyampaikan ucapan beliau di hadapan rombongan guru-guru Kemas dari Parlimen Parit di Putrajaya semalam.

Dalam ucapan beliau, beliau memberi bayangan jelas bahawa Pilihan Raya Umum ke 14 yang akan datang akan lebih banyak berkisar kepada perang di alam maya khususnya media sosial. Bukan menidakkan cara kempen secara konvensional, cuma beliau mengingatkan bahawa corak politik masa kini sudah banyak berubah sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.

Sambil memberi contoh, mainan persepsi yang dibuat oleh pembangkang hari ini hanyalah dengan menggunakan sebaran menerusi media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Twitter, Instagram dan sebagainya. Dari sinilah mereka mencipta mainan persepsi hanya untuk memburukkan seseorang calon, part dan kerajaan secara amnya.

Dalam ucapan yang sama, beliau turut menjelaskan peranan besar yang harus dimainkan oleh para guru-guru Kemas yang selama ini menjadi nadi penggerak kerajaan dalam menyampaikan dasar-dasar pendidikan dan dasar kerajaan itu sendiri. Ternyata, beliau cukup menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru Kemas ini dalam menyampaikan apa jua dasar kerajaan kepada rakyat.

Dalam situasi politik yang semakin menggila hari ini, setiap seorang ahli parti mahupun penjawat awam, harus sentiasa bersedia berhadapan dengan mainan politik kotor pembangkang. Mereka akan menyerang dari segenap penjuru hanya semata-mata mahu memastikan mereka yang selama ini menyokong kerajaan, bertukar fikiran dan menyokong pembangkang.

Tambah beliau lagi, "perperangan" di laman sosial ini tidak lagi terhad di kawasan bandar semata-mata. Pembangkang lebih memfokuskan untuk mempengaruhi pemikiran rakyat di luar bandar kerana seperti yang semua maklum, penduduk luar bandar adalah kelompok pengundi yang begitu setia dengan UMNO dan kerajaan Barisan Nasional hari ini.

Trend politik sebegini sebenarnya bukan sahaja baru di dalam dunia hari ini. Sudah banyak negara di dunia hari ini telah menerima corak poltik terkini dengan kebanyakan calon dari negara-negara maju di Eropah, menjadikan media sosial sebagai medium mereka meraih populariti.

Ianya tidak lagi berkisar kepada berapa banyak poster yang kita gantung, berapa banyak bendera parti yang kita pasang atau berapa banyak ceramah umum yang dianjurkan. Corak kempen kini nyata sudah berubah dan beliau cukup mengharapkan, golongan guru-guru Kemas dan semua penjawat awam hari ini sedar akan ancaman terbaru pembangkang menerusi mainan persepsi di media sosial.

Ulasan