Nampaknya, Keinginan Kemajuan Di Bawa Ke Parit Hanya Tinggal Laungan Sahaja


Dalam beberapa artikel yang saya tulis sebelum ini, banyak disentuh tentang keadaan semasa di Pekan Parit dan Tanjung Belanja yang dikategorikan sebagai mundur. Manakan tidak, sejak sekian lama kewujudan Pekan Parit di dalam peta negeri Perak, boleh dikatakan, kemajuan yang dibawa kepekan kecil ini cukup minima seolah-olah langsung tiada sebarang projek kemajuan dibawa kesini.

Memang agak menyedihkan apabila melihat Pekan Parit yang mempunyai nilai estitikanya yang tersendiri dibiarkan terus mundur kebelakang disebalik kemajuan berterusan yang dinikmati oleh satu lagi kawasan yang telah berjaya dibangunkan sebagai Bandar Ilmu, Seri Iskandar.

Bukan mahu mencemburui apa yang dinikmati di Seri Iskandar kerana bandar berkenaan juga terletak di dalam Parlimen Parit. Namun, ketidak seimbangan pembangunan jelas merencatkan pembangunan ekonomi penduduk setempat. Tambahan pula, Parlimen ini menggunakan nama Parit namun apa yang dapat kita saksikan, hanya Seri Iskandar mendapat untung manakala Parit pula tidak.

Sesuatu yang patut dipuji apabila Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Bin Abu Hasan semalam telah memuat naik tentang permohonannya bagi meminta kerajaan masukkan Perak Tengah dalam NCIA (Koridor Utara).

Disamping itu juga, beliau meminta pembinaan lebih banyak Projek Perumahan 1 Malaysia (PR1MA) di Seri Iskandar dan pada masa yang sama, beliau turut meminta kerajaan memberikan perhatian lebih khusus ke atas soal perpaduan yangg semakin meruncing sejak akhir-akhir ini.

Di dalam ketiga-tiga permintaan beliau ini, timbul satu persoalan, kenapa projek PR1MA yang diminta olehnya ini dibina di kawasan Seri Iskandar? Kenapa tidak membawa projek ini ke Pekan Parit yang mana jarak antara Pekan Parit ke Seri Iskandar tidak pun sampai 15 minit?

Kenapa hanya menumpukan pembangunan berterusan di Seri Iskandar sedangkan warga Parit masih ternanti-nanti, bilakah pembangunan seperti pembinaan PR1MA dapat di bawa ke kawasan Parit. Bukankah ini dianggap sebagai menidakkan hak warga Parit menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan terhadap rakyatnya?

Harus difahami bahawa Seri Iskandar hari ini sudah padat dengan deretan pembinaan lot-lot rumah termasuk pembinaan lot-lot kedai yang mana warga Parit hanya mampu saksikan setiap kali pergi ke Seri Iskandar. Kenapa tidak beliau meminta dana tambahan untuk membaik pulih jaringan jalanraya antara Siputeh ke Pekan Parit dan membawa pembinaan PR1MA ini ke Parit?

Kenapa tidak mengusulkan di dalam Parlimen, keperluan untuk menjadikan Pekan Parit sebagai pekan warisan sejarah dan sekaligus menjadikan pekan ini sebagai salah sebuah tempat pelancongan? Adakah susah untuk membawa pembangunan moden ke pekan kecil ini sehinggakan Seri Iskandar mendapat layanan yang lebih istimewa daripada beliau?

Sudah cukup lama pekan ini memerlukan satu pembangunan yang berterusan. Memang, selama hari ini penduduk di kawasan sekitar Parit tidak begitu berbunyi namun, mereka juga manusia yang turut dahagakan pembangunan. Usah menafikan hak mereka hanya semata-mata mahu menjadikan Seri Iskandar sebagai bandar moden sedangkan Pekan Parit dibiarkan antara hidup dan mati.

Ulasan