Hal yang sama dapat diperhatikan di Pekan Parit samada pada hari biasa mahupun pada hujung minggu. Di pasar Pekan Parit sendiri menampakkan hanya golongan veteran sahaja yang masih bergiat aktif dalam urusniaga seharian dan agak sukar melihat golongan muda menjalankan perniagaan di Pekan Parit kecuali di kedai-kedai makan.
Satu perkara yang mungkin agak disesalkan adalah, tidak banyak aktiviti yang boleh dijalankan dengan melibatkan anak-anak muda di pekan kecil ini. Malah, satu pusat Siber Rakan Muda yang sepatutnya di gunakan sebagai pusat aktiviti siber juga dikunci dan dibiarkan semak. Kenapa pusat seperti ini dibiarkan kosong sedangkan ianya mampu menarik anak muda dan belia berkumpul di kawasan ini?
Ketika membuat tinjauan baru-baru ini, seorang penduduk di Pekan Parit ini memberitahu, pusat siber bekenaan telah lama tutup. Malah, dia yang enggan nama dan gambarnya disiarkan, turut tidak pasti kenapa pusat siber ini ditutup. Menurutnya, jika ada anak muda Parit ingin melayari internet, bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar atau laptop, mereka akan membanjiri pusat siber yang ada di Pekan Parit atau di Seri Iskandar.
Disamping itu, beberapa gelanggang futsal juga di dapati terbiar tanpa pengurusan yang baik. Ada diantara gelanggang yang dibina di setiap kampung di Parit ini diselenggara dengan baik. Itupun jika penggunaan gelanggang berkenaan digunakan dengan kerap. Jika tidak, ada diantaranya mengalami kerosakan disebabkan tiada penjagaan yang baik.

Bukankah lebih baik, masa terluang anak muda ini dipenuhkan dengan aktiviti yang sihat serta membuka semula pusat siber di pekan Parit berkenaan. Jika ada yang kurang, Ahli Parlimen atau ADUNnya sendiri boleh meminta bantuan dari pihak atasan supaya masa yang terluang ini dapat dipenuhkan dengan aktiviti yang sihat.
Malah, pihak berkenaan juga boleh menyediakan tapak dan ruang buat anak muda yang berminat untuk membuka perniagaan mereka sendiri hasil daripada bantuan Ahli Parlimen ataupun ADUN di sekitar Parlimen Parit. Tidaklah masa terluang mereka dihabiskan di luar, jauh daripada kediaman mereka.
Ulasan
Catat Ulasan