Bagi sesetengah orang, mereka menerima dengan fikiran terbuka sebarang cadangan ataupun buah fikiran yang dilontarkan oleh sesiapa sahaja demi kebaikan sesuatu komuniti ataupun tempat. Ada juga sesetengah pihak yang tidak mahu menerima sebarang cadangan dan mereka ini sentiasa mahu menidakkan apa jua buah fikiran walaupun cadangan itu baik untuk komuniti ataupun tempat.
Dalam hal ini, perkara yang sama tidak dapat lari dari apa yang berlaku di Parlimen Parit hari ini. Idea dan pendapat bernas yang dizahirkan oleh rakyat bawahan, acapkali ditenggelamkan begitu sahja sehinggakan idea dan cadangan bernas dari orang bawahan ini hilang begitu sahaja.

Sebenarnya, untuk membangunkan satu-satu kawasan ini terutamanya di kawasan sekitar Parit dan Tanjung Belanja, idea-idea dan cadangan akar umbi ini cukup penting. Manakan tidak, merekalah yang saban waktu dan setiap hari berada di kawasan mereka memerhati apa sahaja ruang untuk dibangunkan.
Siapa yang mahu kehidupan mereka terus tenggelam disaat kawasan sekitar sudah mula menerima sentuhan pembangunan. Siapa mahu kehidupan mereka ketinggalan jauh sedangkan "jiran" mereka, Sri Iskandar menikmati pembangunan berterusan sehingga ada ura-ura mengatakan berkemungkinan sebuah lapangan terbang akan di bina di Daerah Perak Tengah?
Sudah tentu tiada yang mahu hidup dibelenggu kemunduran. Justeru, idea-idea pembangunan hasil daripada mereka yang melihat dan memahami setiap denyut nadi penduduk sekitar inilah yang perlu dititik beratkan. Bukan hanya sekadar mendengar mereka yang hanya tahu mengampu sedangkan apa yang dialami oleh rakyat kebanyakan, tenggelam begitu sahaja.
Parit ini bukanlah sekolot atau semudur mana. Ramai anak-anak Parit telah berjaya di luar sana. Ada yang menjadi engineer, ada yang menjadi ahli politik tersohor, ada yang menjadi ulama terkenal, malah ada yang menjadi orang yang rapat dengan Perdana Menteri dan menjadi salah seorang daripada pemikir kepada hala tuju negara.
Janganlah pendapat orang-orang yang telah terbukti berjaya ini ditidakkan hanya kerana mahu mengampu bos ataupun menjaga kepentingan sendiri. Perjuangan seseorang itu banyak bergantung kepada sokongan yang diterima oleh rakyat bukannya sokongan yang diterima dari orang-orang bawahan. Ini yang harus diberi keutamaan.
Ulasan
Catat Ulasan