Setiap tahun, apabila tiba hujung tahun, Malaysia akan menerima taburan hujan yang agak tinggi di mana di beberapa buah negeri akan mengalami banjir. Perkara seperti ini seperti sudah menjadi kelaziman walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasi masalah ini.

Penulis diberitahu bahawa terdapat hakisan tebing sungai yang agak serius di Parit ini. Kes berkenaan dikongsikan di dalam media sosial Facebook oleh seorang anak jati Parit yang menggunakan nama Norain Malek.
Dia memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan terdapat hakisan berlaku di tebing Sungai Perak berhampiran dengan rumahnya di mana menurutnya sudah berlaku sejak sekian lama. Ia semakin serius apabila tiba musim hujan dengan arus sungai turut memburukkan hakisan berkenaan.
Munurut status yang dimuat naik olehnya, aduan sudah banyak kali dilakukan namun tiada tindakan susulan diambil bagi mengatasi masalah ini. Timbul persoalan, sampai bila masalah ini akan diatasi? Adakah pihak-pihak berkenaan menunggu kehilangan nyawa baru hendak bertindak atau projek berkenaan sengaja ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu yang hanya diketahui oleh mereka?

Tidak kiralah samada runtuhan berkenaan hanya melibatkan satu rumah sahaja, setiap aduan yang boleh mengancam nyawa dan kehilangan harta benda ini wajar ditangani dengan pantas terutamanya apabila Parit sedang menerima taburan hujan yang tinggi.
Ini bukan perkara yang boleh dibuat mainan dan disinilah pentingnya penjagaan dan menaik taraf pesisir kawasan sungai perlu dilakukan dengan lebih berkesan. Usah sampai kehilangan nyawa barulah muncul untuk bertindak. Jangan sampai wartawan media arus perdana datang membuat liputan kes seumpama ini barulah timbul rasa penyesalan.
Ulasan
Catat Ulasan