Musim tengkujuh tiba lagi dan kali ini cuaca memang sukar dijangka. Jika dahulu, kita sudah mengetahui taburan hujan yang agak tinggi melanda setiap hujung tahun namun kini, keadaan hujan boleh berubah-ubah.
Memperkatakan tentang musim tengkujuh ini, ramai yang mengandaikan, negeri-negeri Pantai Timur pasti akan dilanda banjir seperti kelazimannya. Walaupun kita tidak pernah meminta untuk kejadian seumpama itu berlaku, namun hakikatnya, saban tahun kita akan menyaksikan keadaan yang sama sejak berdekad lamanya.

Umum sedia maklum bahawa Parit dan Tanjung Belanja memang terlalu dekat dengan Sungai Perak. Sebarang kemungkinan hujan lebat berlaku dalam beberapa jam memungkinkan air akan mula melimpah dan dikhuatiri akan mula mengakibatkan tebing-tebing sungai runtuh dan berkemungkinan air akan mula naik.
Di sinilah perlu wujud kesedaran bahawa saliran longkang perlu dibersihkan pada tahap optimum. Samada penduduk setempat mahupun pihak berkuasa tempatan, kesemua pihak harus bersiap sedia bermula dari sekarang supaya kejadian seperti tahun 2014 tidak lagi berlaku.
Memang ini kuasa tuhan namun perlu diingat, punca kejadian banjir ini bermula dari kealpaan kita dalam menjaga kebersihan. Pada masa yang sama, pihak berkuasa yang terlibat perlu memantau sebarang kejadian runtuhan tebing dan cerun-cerun bukit seperti di jalan yang menghubungkan Tanjung Belanja dan Pekan Parit agar tidak melibatkan kehilangan sebarang nyawa.
Semalam, baru sahaja di sebut tentang runtuhan tebing di Tanjung Belanja dan seharusnya pihak berkuasa perlu bertindak pantas sebelum kejadian tidak diingini menimpa penduduk sekitar. Ini bukan lagi soal peruntukan ataupun siapa yang patut memulakan kerja. Ini adalah melibatkan nyawa dan keselamatan nyawa penduduk sekitar.
Ulasan
Catat Ulasan